Assalamualaikum..

Ya Allah, Kau percomelkanlah keselamatan dan kesihatanku, Kau teguhkan ketaqwaanku dan istiqamahku, jauhkanlah diriku dari diperkenakan kesedihan dan kekecewaan pada masa sekarang dan akan datang, Sesungguhnya Engkaulah Maha Pendengar.

Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami agar isteri kami dan anak cucu kami menjadi penyenang hati kami, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang2 yang bertaqwa (al-Furqan:74)

Tuesday, July 17, 2012

Bila Pelajar Membawa Handphone ke Sekolah

Bismillah. Terlebih dahulu sebagai guru rasa terpanggil untuk sama berkongsi pengalaman dalam isu pembawaan handphone (HP) ke sekolah dalam kalangan pelajar. Bukan bermaksud untuk membangkang atau menyokong mana-mana dasar yang dibawa kerajaan. Kami sebagai guru hanyalah pelaksana dasar. Jika undang-undang sudah ditetepkan, sebagai pelaksana, kami hanya akan melaksanakan. 

Kawe pasti bagi yang menyokong dasar ini, seribu macam alasan "kebaikan" diberi bagi menyokong isu ini, manakala bagi yang tidak menyokong pula, seribu alasan "negatif" mengenai dasar ini juga diketengahkan. Sebaiknya kita bincangnya secara akademik dengan mengetengahkan baik buruk isu ini dengan harapan, yang baik kita teruskan, yang buruk kita cuba atasi. 

Dahulu kala, HP hanya digunakan oleh golongan berada kerana ianya dianggap benda yang "mewah". Namun sekarang hanya dengan RM50, kita sudah mampu memiliki HP samada yang baru atau terpakai untuk anak-anak. Dan tidak dinafikan, HP sangat penting buat ibu bapa memantau anak-anak terutamanya apabila anak-anak berjauhan dengan keluarga. Ada sebilangan ibu bapa rasa selesa dan dapat kurangkan "perasaan bimbang terhadap anak-anak" bila anak-anak bawa HP ke sekolah bagi mempercepatkan pemberitahuan maklumat terkini samada perubahan jadual kelas/aktiviti luar sekolah dsb. Ia juga lebih menjimatkan masa menunggu dalam kalangan ibu bapa yang rata-rata semakin sibuk apabila anak-anak pulang lewat kerana aktiviti luar bilik darjah. Ini juga dikatakan mampu meningkatkan aspek keselamatan anak-anak apabila ibu bapa dapat menghubungi anak-anak selepas waktu sekolah. 

Selain itu, dalam arus perubahan dunia yang rata-rata memerlukan penguasaan teknologi maklumat, penggunaan HP semakin menjadi keperluan. Tambahan pula hampir semua sekolah dan jabatan dilengkapi kemudahan wifi percuma memerlukan pelajar belajar dalam persekitaran maya dengan menggunakan gajet mereka secara meluas. Dunia zaman sekarang sangat berbeza, semua pihak samada pelajar, ibubapa dan guru  perlu mengadaptasi dengan kehadiran trend sebegini. Dengan adanya gajet, pelajar dan guru tidak perlu lagi membazir masa menulis dan menyalin nota. Hanya perpindahan file berkenaan pelajaran melalui gajet, P&P lebih memudahkan di dalam kelas. Pelajar juga dapat mengakses maklumat dengan cepat. 

Namun trend ini hanya akan tercapai dalam kalangan pelajar yang bersahsiah dan berdisiplin. Bagaimana pula dengan pelajar yang tidak berdisiplin, menggunakan HP secara tidak terkawal sehingga menggangu P&P? Maka pembuat dasar perlu menyediakan garis panduan penggunaan HP di sekolah bagi memastikan P&P tidak terganggu sama sekali. Buat masa ini, tiada lagi garis panduan dikeluarkan. Namun kawe berharap garis panduan ini dikeluarkan secepat mungkin bagi membolehkan guru sebagai pelaksana dasar bersedia sebelum dasar dikuatkuasakan. Kita tidak mahu bila dasar dikuatkuasakan, barulah garis panduan nak dibina dan dikeluarkan seperti perlaksanaan dasar PBS yang menjadikan cikgu-cikgu pening kepala. 

Kawe kurang senang menceritakan keburukan pembawaan HP ke sekolah dalam kalangan pelajar. Kerana kawe percaya terlalu banyak idea dan isu yang dibuahkan oleh semua pihak. Apa yang perlu, kita "google" sahaja untuk mencari kesan buruk pembawaan HP ke sekolah. Memang TERRRlalu banyak. Ada juga cakap-cakap nakal oleh guru mengenai pembawaan HP ini. Sudah ada guru-guru yang ingin menjalankan bisnes penjualan topup kepada pelajar. Ada juga pihak yang menyediakan perkhidmatan mengecas gajet. Tidak kurang juga bagi guru-guru yang seksi akan lebih sopan ke sekolah kerana bimbang aurat yang terdedah akan menjadi bahan ekploitasi pelajar apabila gambar dan video curi diambil. 

Sebenarnya banyak kesan baik-buruk dalam pembawaan HP dan gajet ke sekolah dalam kalangan pelajar. Semua pihak harus bekerjasama dalam mencari solusi mengatasi masalah ini. Kita tidak boleh menyekat arus ini. Sebaliknya perlu melakukan adaptasi mengikut trend dengan mewujudkan garis panduan yang berkesan supaya tidak membawa kesan buruk kepada semua pihak. 

Monday, July 16, 2012

Rule # 3 and Rule # 4

Bismillah. Alhamdulillah. Ramadhan bakal menjelma kurang seminggu lagi. Sudah ada kalangan sahabat Muallim yang membuat persiapan menjalani ibadat dalam bulan Ramadhan nanti. Jadual-jadual Imam Traweh juga sudah dikeluarkan bagi masjid dan surau-surau utama di Kapit. Syukur tahun ni diberiNya rezeki untuk sekali lagi mengaut sebanyak-banyak fadhilat peluang beribadat. Pernah dulu Muallim membincangkan "Rule 1 and Rule 2" dalam topik yang lepas. Ini adalah kesinambungan dari topik tersebut untuk kita sama fikirkan. 


 Pernah semasa mengajar kanak-kanak, guru akan mengadakan permainan kecil di dalam P&P bagi menarik minat pelajar seperti pertandingan berbentuk kuiz dsb... pasti ada pemenang dan ada yang kalah. Masa ini akan wujud suasana tidak puas hati dan terpupuk sikap "hasad" dalam diri anak-anak. Rule #3 menyarankan agar guru membuat peneguhan di dalam P&P dengan memastikan anak-anak diwajibkan mengucapkan tahniah kepada rakan yang memenangin permainan kecil atau rakan yang membuat sesuatu yang baik. Tepukan sekurang-kurag 3 saat juga disarankan supaya kanak-kanak rasa dihargai. Mereka diajar supaya menerima kegagalan dengan baik disamping terus berusaha. Bagi pelajar yang kurang bernasib baik, diberi galakan untuk terus berusaha. Bagi pelajar yang menang diingatkan agar tidak rasa bangga diri. Sikap sebegini yang diajar oleh guru pada peringkat kanak-kanak, serta diperteguhkan lagi oleh ibu bapa di rumah mampu menjadikan anak-anak kita sentiasa positif menerima kejayaan dan kegagalan, serta sentiasa menunjukkan "respect" kepada pihak lawan dan masyarakat sekeliling. Apabila besar tidak la ada masalah bergaduh kerana tidak puas hati semasa pertandingan sukan (tidak boleh menerima kemenangan orang lain). 
Begitu juga semasa perbincangan. Ada kalangan pelajar sentiasa mem"booo" rakan-rakan apabila memberi cadangan dan idea jawapan di dalam kelas. Rule #4 menekankan agar pelajar mesti hormati ulasan, pendapat dan idea pelajar lain semasa perbincangan. Mesti ajar adab mengkritik semasa berbincang. Sebagai contoh, "I agree with Mat, and I also feel that..." atau "I disagree with Sara. She made a good point, but I feel that..". Macam-macam contoh yang sopan diajar semasa perbincangan. Masalah pasti timbul apabila ianya dianggap "skema" dalam kelas. Namun teknik ini boleh diolah merentasi bahasa dan budaya anak-anak kita. 

Semoga berjaya buat semua pendidik, yang mendidik akhlak anak-anak, yang turut sama disokong oleh peneguhan ibu bapa di rumah. Apa guna jika pelajaran akhlak ini hanya berjalan di sekolah, namun dipandang sebelah mata oleh ibu bapa yang hanya inginkan anak-anak mendapat straight A dalam peperiksaan. Wallahu'Alam. 

Tuesday, July 10, 2012

Kurang Ajar vs Terlebih Ajar

Bismillah. Sebagai guru, kawe juga tidak terlepas daripada melaksanakan tugas yang merentasi ruang dan masa waktu pejabat seperti Perkhemahan Unit Beruniform dan Kem-kem Motivasi Khas yang dianjurkan sekolah dan PPD. Sudah menjadi asam garam khidmat kawe dan rakan-rakan guru yang lain menerima tugas sebegini di hujung minggu di mana masa untuk anak isteri serta keluarga terpaksa dikorbankan demi menjayakan program tersebut. Bagi kawe yang memang berjauhan dengan isteri merentasi Laut China Selatan sudah sebati dengan masalah ini, tidak lagi kekkok untuk menghadapinya. Namun jauh di sudut hati terus berdoa moga allah makbulkan kami suami isteri untuk terus hidup bersama dalam sebuah keluarga yang mawaddah warahmah.

Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Selirik yang diadakan pada 5-7 Julai lepas berjalan dengan lancar. Alhamdulillah. Walaupun ada beberapa kes dan masalah, namun semuanya dapat ditangani dengan mudah. Tugas dalam kem menyebabkan kawe terlewat menghadiri Solat Fardu Jumaat. Setibanya di masjid, Khatib hampir menghabiskan khutbahnya yang pertama. Tanpa menghiraukan orang ramai yang terus melepak dan berbual-bual, kawe terus melangkah laju dan melaksanakan hak terhadap masjid.

Apa yang ingin kawe kongsi di sini adalah mengenai budaya masyarakat kita yang masih lagi tidak mencerminkan kematangan dan ketertiban beribadat. Ketika Khatib membaca khutbah, masih ramai yang melepak di tempat parking masjid, melepak di tepi tandas masjid, melepak di tangga pejabat agama Kapit yang berhadapan dengan masjid. Jika yang melepak itu terdiri daripada kanak-kanak rasanya tidak menjadi masalah untuk kita semua tegur dan ambil tindakan. Namun orang yang sudah terlebih ajar terdiri daripada belia muda remaja serta bapa-bapa yang menjadi tonggak aktiviti lepak di tempat tersebut. Aktiviti mereka tidak sekadar lepak, malah berbual-bual sambil menyedut rokok tanpa segan silu. Ada tika menghilai tawa mengalahkan suara khatib.

Mungkin itu kelemahan kawe dan rakan-rakan yang lain dalam menegur dan mendidik mereka. Bukan tidak ingin menegur. Jika ditegur hanya akan bermasam muka. Bimbang terkeluar kecaman "alah.. kamu orang luar.. ada hati nak tegur kami yang berpuluh-puluh tahun tinggal di sini. Dah la orang luar.." Apatah lagi nak mensenkeh kepala mereka. Tak pasal-pasal kawe dikejar dengan parang. Apa yang kawe ada adalah mengkritik melalui penulisan. Hanya ini yang ada. Jauh sekali untuk membuka aib. Siapa yang makan lada, maka akan terasa.

Kita minta lah orang dewasa, sebaik sahaja azan solat jumaat berkumandang, marilah kita naik ke masjid untuk menghayati khutbah. Malu ke anak-anak dan budak-budak sekolah yang boleh je menghormati tertib beribadat ini malah jauh lebih baik dari orang dewasa. Tiada faedah duduk melepak di bawah ketika khutbah jumaat. Generasi lepak semasa khutbah ini tidak mustahil akan diturunkan kepada anak-anak pula jika sikap ini tidak diubah. MALU KOTRANN..

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya) (al_Jumu'ah:9)

Thursday, July 5, 2012

Rule 1 and Rule 2

Bismillah. Firman Allah dalam surah al-Furqan ayat ke 63,
Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini. 

Beberapa tahun yang lepas kawe menonton filem The Triumph yang disiarkan dalam siri Astro adaptasi daripada kisah sebenar seorang guru yang energetik, kreatif dan idealistik bernama Ron Clark. Clark mengajar di sebuah sekolah di New York dimana keadaan sekolah ini sungguh berbeza seolah-olah sudah berada diambang kehancuran; rendah nilai moral, tidak beradab, melawan guru dan amat lemah prestasi akademik. Namun dengan rasa penuh tanggung jawab, Clark berjaya mencorak pelajarnya dengan cemerlang. 

Terdapat sesuatu yang istimewa apabila menonton filem ni. Maka kawe pon cuba "google" filem ini. Akhirnya kawe lebih mengenali watak Clark dengan lebih jelas. Banyak anugerah diterima beliau. Yang cukup menarik Clark telah menulis sebuah buku bertajuk "The Essential 55" sebagai tips dan panduan untuk pendidik bagi cuba mencorakkan nilai murni kepada anak-anak. Semangat inkuiri yang begitu tinggi mendorong kawe untuk memiliki buku yang menarik ini. Maka kawe cuba mendapatkan buku ini secara online. Alhamdulillah kawe terjumpa buku terpakai yang dijual hanya dengan harga AS$4.00. Dengan menggunakan Pay Pal kawe berjaya membelinya dengan jumlah AS$14.00 termasuk kos penghantaran.

 Yang menarik, Clark di dalam kelas akan mengaplikasikan dengan cemerlang unsur nilai moral semasa mengajar dengan memperkenalkan undang-undang (rules) yang wajib dipatuhi pelajar. Bermula dari situ pelajarnya yang begitu rendah nilai akhlaknya dibentuk sedikit demi sedikit sehingga membawa perubahan besar dalam diri pelajarnya. Diantara contoh undang-undang diperkenalkannya adalah rule 1: When responding to any adult, you must saying "Yes ma'am" or "No, Sir". Hanya mengangguk dan menjawab ringkas tidak boleh diterima apabila pelajar berkomunikasi dengan guru atau orang yang lebih dewasa. Ini lah peraturan pertama yang dibentuk dalam kelas semasa sesi soal jawab. Rule ini dianggap penting kerana untuk menilai perasaan hormat pelajar terhadap orang yang lebih tua. JIka kita inginkan pelajar menghormati kita, kita kena ajar mereka untuk mengetahui cara menghormati kita dengan menyebut "cikgu" atau gelaran yang dihormati semasa bercakap seperti contoh; "ya, cikgu..". Pada awalnya memang nampak skema untuk dipraktikkan. Namunitu lah yang perlu kita lakukan. 

Kemuadian Rule 2 yang dibincangkan adalah "Make eye contact". Apabila guruseseorang bercakap, mata kita harus memandangnya. Jika rakan dalam kelas diminta memberi pendapat, harus berpaling muka dan memandang rakan anda. Ini juga mesti dijadikan undang-undang oleh semua guru dalam membina nilai. Walaupon pelajar mendakwa dia mendengar dan dapat simpan maklumat dalam memori otak, namun pelajaran nilai yang lebih bermakna itu sudah terlepas dalam diri pelajar tersebut. Walaupun nampak remeh, namun benda yang remeh ini lah mampu menjejaskan prestasi pelajar dewasa kelak. 

Harus diingat bahawa "eye contact" bukan sahaja mengajar pelajar untuk berkeyakinan semasa berkomunikasi, malah mengajar pelajar untuk menunjukkan rasa hormat kepada orang sekeliling. Pelajaran ini jika tidak kita terapkan dalam jiwa pelajar, akan ada pelajar yang belajar untuk menjadi kurang ajar. Contohnya, apabila kita mengajar, ada pelajar yang dengan sini memandang pada arah lain. Apabila di marah, sambil menyeluk saku pelajar itu memandang ke arah ain sambil memcebik bibir. adakah ini yang kita mahukan dalam sistem pendidikan kita?

Wednesday, July 4, 2012

Sukan: Agen perpaduan atau perpecahan masyarakat?

Gambar Hiasan: Kemeriahan sukan di kalangan anak-anak sebagai agen sosial
Bismillah. Assalamualaikum. Bila kita fikirkan urusan kerja, sememangnya kerja tidak akan pernah tamat. Apabila selesai satu tugas, tugas lain pula menanti. Paling tidak ada sahaja pihak tertentu menanti untuk terus memberi tugas sebaik kita selesai tugas terdahulu. Oleh itu jangan lupa untuk memberi sedikit ruang kepada diri kita sendiri. Ruang yang ada kawe manfaatkan untuk berkongsi sedkit idea dan pandangan. 

Isu yang agak menarik. Sukan: Agen perpaduan atau perpecahan masyarakat? Sebagai orang sukan, kawe rasa topik ini amat menarik. Teringat dahulu semasa di sekolah, sukan sangat digemari oleh semua kanak-kanak. Dari sinilah mereka mula berkenalan, mula berkelahi dalam erti kata mula saling mengenal hati budi rakan-rakan sepermainan. Dengan tunjuk ajar guru, sifat negatif diatasi dan dari situ lah bermula semangat setiakawan dalam sukan. 

Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: 
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). 

Semasa mengambil kursus iktisas sukan di UPSI, kawe sempat berguru dengan cikgu-cikgu senior. Dari situ kawe mula berkongsi pengalaman. Ada kes pelajar pernah memberi cadangan untuk bermain boa sepak semasa kelas Pendidikan Jasmani (PJ) dimana pasukan Melayu melawan pasukan India. Maka guru yang bertanggungjawab telah mengambil langkah bijak melarang aktiviti tersebut. Ini hanya mengajar anak-anak budaya tidak baik. Maka sebaiknya dibahagikan ahli yang sekata terdiri dari semua lapisan dalam setiap pasukan. Secara tidak langsung boleh memupuk perpaduan melalui kerjasama yang ditunjukkan dalam kelas PJ. 

Ini sebahagian contoh kecil usaha yang berterusan perlu dimainkan oleh masyarakat dalam menjadikan sukan sebagai agen perpaduan. Semasa kawe di UPSI, ruang dan peluang yang ada lebih cerah untuk kawe belajar mengaplikasikan sukan sebagai agen perpaduan. Di UPSI juga kawe berpeluang untuk berkenalan dengan rakan-rakan dari pelbagai latar etnik, usia, sosial, ekonomi dsb. Pernah bermain tennis dengan pensyarah, rakan senior, staf bukan akademik universiti, dan masyarakat setempat. Ini memberi kita lebih ruang berkenalan dengan lebih rapat. Sebagai contoh, kawe mempunyai hubungan lebih rapat dengan pensyarah melalui tenis sehinggakan selalu diminta pertolongan untuk menjadi instruktor dalam kuliah tenis. Juga kawe juga mempunyai lebih kawan yang merentasi rakan sekuliah. Ini menjadikan kita lebih seronok bersosial ditempat baru. Sebut sahaja dimana kita pergi, pasti ada kawan. 

Namun lebih malang apabila melihat gelagat masyarakat yang sepatutnya lebih matang. Kekadang sedih melihat peringkat umur yang lebih tua menjadi seperti lebih kuah dari sudu. Mengapa demi kejohanan sukan kecil diperingkat kampung pon sudah tidak sehaluan. Sukan sebagai perpaduan sudah tidak dipeduli lagi. Asalkan hati puas meraih kemenangan tanpa mengira semangat kesukanan. Maka sukan yang boleh dimainkan dengan seronok menjadi medan berkelahi. Kekerasan dipamerkan sehingga mencederakan pasukan lawan. 

Ada kes penganjur kejohanan berlaku tidak jujur. Udahlah yuran penyertaan yang dikenakan terlalu tinggi. Hadiah kemenangan  tidak diumumkan secara tepat. Apabila pasukan yang ditaja penganjur menang, maka hadiah yg besar diberikan dalam bentuk wang tunai. Jika pihak luar yang menang, maka hadiah wang tunai sekadar mengembalikan yuran penyertaan diberi. Itu tidak dikira lagi pengadil yang bias dalam mengadili kejohanan. Sikap sebeginilah yang menjadikan sukan sebagai agen perpecahan masyarakat. 

Pernah dalam pengalaman kawe menjadi pemerhati kejohanan badminton yang diadakan oleh sebuah persatuan di tempat kawe bertugas di kapit. Sudah lah yuran kejohanan dikenakan begitu tinggi. Setiap kali game, peserta sendiri terpaksa membayar RM5 untuk sebiji "shuttle cock". Jika untuk menamatkan permainan memerlukan 4 biji bulu tangkis, berapa banyak wang pemain perlu belanjakan? Lagi kelakar, hadiah diumumkan secara tidak jelas. Contohnya juara akan mendapat piala dan wang tunai (nilai wang tunai yang tepat dtidak diumum). Disinilah hadiah akan diekploitasi oleh penganjur dengan memberi hadiah yang minima kepada pasukan luar, dan memberi hadiah wang tunai maksima kepada pasukan tajaannya. 

Benda yag sama pernah berlaku dalam kejohanan bola sepak dan pin pong yang di anjurkan oleh sebuah persatuan di Kapit. Kadang-kadang kita tidak ingin meburukkan mutu penganjuran, tetapi itu lah hakikatnya. Tidak dinafikan mengapa sukan peringkat kampung ini bukan lagi menjadi agen perpaduan, tetapi menjadi punca masyarakat bermasam muka dan saling berdendam. 

Alhamdulillah, kawe melihat Bank Rakyat Kapit buat julung kalinya menganjurkan kejohanan futsal. Wang penyertaan yang jelas dikenakan tanpa membebankan peserta dimana peserta akan mendapat pakaian sukan. Hadiah yang tepat juga diumumkan sepeti juara mendapat wang tunai RM1500. Ini lah yang dikatakan pengurusan penganjuran yang telus. Diharapkan perlaksanaan kejohanan ini berjalan lancar.

Monday, July 2, 2012

Grave Disease


Thyroid Hypersecretion ialah satu keadaan di mana banyak hormon dirembeskan daripada nilai normal. Lebihan rembesan hormon ini menyebabkan berlaku keaktifan pada kelenjar tiroid yang dikenali sebagai Hyperthyroidism atau Thyrotoxicosis. Contoh penyakit-penyakit yang disebabkan oleh keadaan ini ialah Grave Disease, Toxic Multinodular Goitre dan Toxic Adenoma.

PENYAKIT GRAVE

1.1       Ciri-ciri

Kes yang paling banyak berlakunya keaktifan tiroid yang berlebihan ialah Penyakit Grave. Penyakit Grave melalui proses autoimun iaitu badan manusia akan menghasilkan antibodi menentang sel atau tisu sendiri disebabkan oleh gerak balas imun. Ini menyebabkan kerosakan pada tisu antibodi yang di hasilkan di panggil autoantibodi (auto Ab).

Tubuh badan menghasilkan autoAntibodi jenis Immunoglobulin G (IgG) menentang reseptor TSH (thyroid stimulating hormone – hormon perangsang tiroid) yang terdapat pada sel kelenjar tiroid. Proses ini merangsang lebih banyak hormon tiroid dirembeskan daripada biasa melebihi keperluan badan. Dalam keadaan mengandung pula Antibodi jenis IgG ini boleh berlaku melalui plasenta dan merangsang tiroid fetus dan menyebabkan neonatal hyperthyroidism. Tetapi keadaan ini akan pulih selepas bayi dilahirkan.

Proses ini telah menyebabkan kelejar tiroid membesar secara simmetri (goiter). Sel epitelium dalam kelenjar tiroid meningkat dari segi bilangan dan saiz (squamous to tall columnar epithelium). Koloid iaitu tempat simpanan hormon tiroid tidak aktif  akan menjadi sedikit kerana banyak dirembeskan. Sel limfosit terdapat banyak disekitar ruang antara sel (interstitium) disebabkan respon kepada gerak balas imun.

Penyakit ini boleh berlaku pada setiap peringkat umur tetapi lebih kerap menyerang kepada mereka yang berumur antara 30 hingga 40 tahun. Penyakit ini  kerap menyerang golongan wanita berbanding lelaki pada kadar nisbah 7:1 .
1.2       Lokasi

Rajah 1:  Kelenjar Tiroid.

Kelenjar Tiroid terdiri daripada 2 bahagian yang terletak dibahagian leher di bawah peti suara.  Setiap bahagian bersambungan antara satu sama lain melalui genting tiroid yang melintas      di bawah rawan krikoid peti suara. Setiap bahagian mempunyai kutub atas (superior) dan kutub bawah (inferior).


Rajah 2:  Sel Tiroid, sumber daripada http://www.muhealth.org/~pharm204/hormones.html.

Unit fungsi kelenjar tiroid adalah folikel. Sel-sel satu folikel adalah kuboid sihat dan mengelilingi satu lumen protein mengandungi bahan dipanggil koloid. Folikel mengubah dalam garis pusat daripada 20-900um, dan dalam kelenjar. Imej di atas menunjukkan satu keratan lintang yang biasa melalui satu penayangan folikel tiroid. Komponen utama koloid adalah sebuah protein dipanggil tiroglobulin, yang berfungsi sebagai pembawa hormon tiroid.


2.0           FUNGSI NORMAL

2.1       Struktur kelenjar tiroid
            Kelenjar tiroid diselaputi kapsul tisu penyambung yang terbina daripada sel-sel folikel. Kaviti yang terkandung dalam sel folikel dicantum dengan satu lapisan sel epitelium kuboid dikenali sebagai koloid. Sel folikel akan merembeskan hormon yang akan disimpan di dalam koloid atau dilepaskan ke dalam salur kapilari darah (Butler.J, Lewis.R & Shier.D., 2006, m.s. 286).

2.2       Hormon Tiroid
            Sel folikel pada kelenjar tiroid akan menghasilkan dua jenis hormon iaitu thyroxine (T4) DAN tri-iodothyroxine (T3). Kedua-dua hormon ini mempunyai tindakan yang sama tetapi hormon thyroxine adalah lima kali kekuatannya daripada hormon tri-iodothyroxine. Hormon-hormon ini juga merangsang proses metabolisme karbohidrat, lipid dan protein. Hormon ini meningkatkan kadar sel penghasilan tenaga daripada karbohidrat, meningkatkan kadar sintesis protein dan merangsang pengurangan dan penambahan lipid. Hormon ini dapat menentukan jumlah kalori yang diguna untuk mengekalkan proses kehidupan, dan kadar metabolisme asas.

Hormon tiroid membolehkan pertumbuhan dan peningkatan normal pada kematangan sistem saraf. Namun rembesan hormon tiroid dikawal oleh kelenjar hipotalamus dan  kelenjar pituitari. Di dalam salur darah, kedua-dua hormon ini akan terikat pada protein plasma lalu diangkut ke sel-sel badan. Kelenjar tiroid juga merembeskan hormon kalsitonin yang selalunya tidak digolongkan sebagai hormon tiroid kerana dihasilkan oleh sel ekstra folikel. Biasanya, ia hadir bersama hormon paratitroid (PTH) yang di rembeskan oleh kelenjar paratiroid.

Ia berfungsi untuk mengawal ion kalsium dan ion fosfat di dalam kandungan darah dalam badan. Kehadiran hormon kalsitonin akan mengurangkan kandungan ion kalsium yang berlebihan dalam darah manakala hormon paratiroid akan meningkatkan ion kalsium yang berkurangan di dalam darah.

           

2.3       Diagram


Rajah 3: Mekanisma rembesan hormon tiroid.
Di dalam badan seseorang manusia normal, sel kelenjar tiroid bertindak seperti yang ditunjukkan pada diagram di atas. Thyroid Stimulating Hormone (TSH) di keluarkan oleh kelenjar pituitari ke dalam aliran darah. Apabila hormon tersebut bertindak balas dengan sel kelenjar tiroid ia akan bercantum kepada reseptor TSH pada permukaan sel di mana ia menghantar signal ke dalam sel untuk memulakan penghasilan hormon tiroid.
Hormon tiroid akan membentuk sistem tidak balas yang negatif dimana apabila hormon ini berada pada tahap konsentrasi yang tinggi, ia akan menghalang pengeluaran TSH daripada kelenjar pituitari. Sekiranya hormon tiroid berada pada tahap yang rendah, kelenjar pituitari akan menghasilkan dan meningkatkan tahap hormon tiroid.
Penyakit Grave mengalami tindak balas yang sama kecuali antibodi autoimunnya bertindak seperti molekul TSH. Antibodi ini bercantum dengan sel dan menjana penghasilan hormon tiroid. Walaubagaimanapun disebabkan penghasilan antibodi autoimun tidak bergantung kepada kelenjar pituitari, tindak balas sistem ini tidak mempunyai kesan ke atas kelenjar pituitari. Namun penghasilan antibodi akan memberi kesan ke atas kelenjar tiroid dan hormon tiroid akan terus dihasilkan dan akan menyebabkan kerosakan fisiologi.


2.4              Gambarajah

Rajah 4: Kelenjar Tiroid yang membesar secara tidak normal.

Rajah 5: Anatomi Kelenjar Tiroid


Fisiologi kelenjar tiroid

Kelenjar tiroid menghasilkan  hormon tiroid, yang mengendalikan tahap metabolisme tubuh. Hormon tiroid mempengaruhi tahap metabolisme tubuh melalui 2 cara :

1.      Merangsang hampir setiap jaringan tubuh untuk menghasilkan protein.
2.      Meningkatkan jumlah oksigen yang digunakan oleh sel.

Jika sel-sel bekerja lebih kuat, maka organ tubuh akan bekerja lebih cepat. Untuk menghasilkan hormon tiroid, kelenjar tiroid memerlukan iodin iaitu elemen yang terdapat di dalam makanan dan air. Iodin diserap oleh usus kecil bahagian atas dan kira-kira sepertiga hingga separuh digunakan oleh kelenjar tiroid. Hormon tiroid dibentuk melalui penyatuan satu atau dua molekul iodin ke sebuah glikoprotein besar yang disebut tiroglobulin yang dibuat di kelenjar tiroid dan mengandungi asid amino tirosin. Bahagian yang mengandungi iodin ini disebut iodotirosin. Dua iodotirosin kemudian bergabung untuk membentuk dua jenis hormon tiroid dalam darah iaitu :
1        Tiroksin (T4), merupakan bentuk  yang dihasilkan oleh kelenjar tiroid, hanya memiliki kesan yang sedikit terhadap tahap metabolisme tubuh.
  1. Tiroksin dibentuk di dalam hati dan organ lainnya ke dalam bentuk aktif, iaitu triiodotironin (T3).
            T3 dan T4 berbeza dalam jumlah molekul iodium yang terkandung (tiga untuk T3  dan empat untuk T4). Sebahagian besar iaitu 90% hormon tiroid yang dibebaskan ke dalam darah adalah T4, tetapi T3 secara fisiologinya lebih sesuai. T3 dan T4 dibawa ke sel-sel sasaran oleh suatu protein plasma.


3.0           ABNORMALITI

 3.1      Tanda-tanda dan simptom

3.1.1        Tanda-tanda dan simptom umum
  • Peningkatan pada kadar metabolisme
  • Peningkatan suhu badan
  • Insomnia (masalah susah untuk tidur)
  • Kelesuan
  • Gelisah dan mudah marah
  • Berat badan berkurang walaupun tanpa diet
  • Kelemahan otot
  • Penglihatan kabur

3.1.2    Tanda-tanda dan simptom kepada orang dewasa
  • Sukar mengandung
  • Tidak tahan panas
  • Eksoftalmos (mata terjojol atau terbeliak)
  • Tangan menggigil
  • Kitaran haid terganggu
  • Mudah penat

3.1.3    Tanda-tanda dan simptom kepada kanak-kanak
  • Hiperaktif
  • Cirit -birit
  • Peningkatan selera makan
  • Kecerdasan otak yang lemah

3.2            Diagnosis

Menurut Norlaila Hamimah Jamaluddin (2007), diagnosis biasanya dimulakan dengan ujian klinikal untuk mengetahui masalah atau gejala penyakit yang dialami. Ujian klinikal untuk penyakit Grave merangkumi persoalan berikut:
1.                 Adakah benjolan itu keras atau lembut?
2.                 Adakah benjolan itu boleh bergerak atau statik?
Ujian-ujian Diagnosis
  1. Imunopendarfluor
Ujian ini boleh digunakan untuk mengesan autoantibodi dalam serum. Sampel tisu yang mempunyai antigen diri disimpan bersama serum pesakit. Jika autoantibodi terdapat dalam serum tersebut, ia akan bergabung dengan antigen diri. Antibodi anti-IgG manusia yang telah dilabelkan dengan pewarna pendarfluor ditambah dan kehadiran antibodi terhadap antigen diri dalam serum pesakit dilihat menggunakan mikroskop pendarfluor.
  1. Ujian pengaglutinatan
Serum pesakit dicampurkan dengan ampaian sel yang mempunyai antigen diri yang diuji. Jika autoantibodi spesifik wujud pengaglutinatan akan berlaku. Jika antigen yang dikesan adalah antigen larut ia boleh diserapkan ke permukaan eritrosit dan digunakan dalam ujian penghemaglutinatan pasif atau secara tidak langsung .
  1. Radioimunisasi
Kaedah ini adalah sensitif. Antigen diserapkan ke permukaan tiub plastik dan serum pesakit ditambah. Kehadiran autoantibodi dikesan dengan penambahan antibodi sekunder (anti-IgG manusia) berlabel radioaktif. Selepas pembasuhan, kuantiti radioaktif dapat ditentukan.


3.3      Rawatan dan terapi

3.3.1   Ubat
Terdapat pelbagai ubat yang dipanggil sebagai ubat antitiroid dalam bentuk tablet yang akan mengurangkan kadar hormon dan mengembalikan tahap normal. Pesakit perlu mendapatkan surat pengesahan utnuk membeli, membawa dan memiliki ubat tersebut ataupun mendapatkannya terus daripada doktor berkenaan. Sesetengah pesakit yang mengambil ubat ini selama satu hingga dua tahun akan beransur pulih disebabkan fungsi tiroid mereka kekal normal walaupun tanpa perubatan khusus.

3.3.2        Pemakanan
Pesakit perlu mengambil makanan yang kaya dengan Vitamin B dan protein seperti ikan, telur dan bijirin untuk mengatasi masalah kehilangan berat badan dan penggantian tisu otot. Pesakit perlu mengurangkan pengambilan rokok, alkohol dan kafein yang dapat meningkatkan kadar metabolisme (Penyakit Tiroid, tahun tidak dinyatakan).

3.3.3        Iodin Radioaktif
Iodin Radioaktif akan merosakkan sel tiroid dan memusnahkan kelenjar tiroid untuk mengurangkan tahap hormon. Seperti pembedahan, cara rawatan ini akan membawa kepada hipertiroidism. Jadi, bekalan ubatan untuk hormon tiroid amat diperlukan untuk sepanjang hayat pesakit.

3.3.4        Pembedahan
Semua kelenjar tiroid boleh dibuang. Dalam kebanyakan kes, pesakit yang menggunakan kaedah ini, akan mendapat under-active thyroid (hypothyroidism, the opposite of hyperthyroidsm) dan akan mengambil hormon penggantian tiroid untuk sepanjang hayat mereka.
Selepas proses diagnosis dan pemilihan rawatan yang dipilih, pesakit perlu berjumpa dengan doktor secara berkala pada setiap tahun untuk memastikan tahap tiroid adalah normal dan penyesuaian dos ubat sekiranya diperlukan.


4.0           RUJUKAN

Butler.J., Lewis.R., & Shier.D. (2006). Hole’s Essentials of Human Anatomy & Physiology 9th Eddition. McGraw-Hill: New York.

Norlaila Hamimah Jamaluddin. (2007, Febuari 18). Kehadiran sel kanser. Metro Sihat. m.s 26-27.

Penyakit tiroid. (Tahun tidak dinyatakan). Diperoleh pada Febuari 11, 2007 daripada http://www.geocities.com/fchuey/penyakit_tiroid.htm?200711.

Thyroid and Anti-Thyroid Drugs. (Tahun tidak dinyatakan). Diperoleh pada Febuari 11, 2007 daripada http://www.muhealth.org/~pharm204/hormones.html.

Popular Posts

Bismillah

Salam sayang dari kejauhan buat isteriku yang sentiasa menghitung hari untuk bertemu suaminya.

Jentera Z1000

Jentera Z1000
Satu kepuasan

Renungan