Assalamualaikum..

Ya Allah, Kau percomelkanlah keselamatan dan kesihatanku, Kau teguhkan ketaqwaanku dan istiqamahku, jauhkanlah diriku dari diperkenakan kesedihan dan kekecewaan pada masa sekarang dan akan datang, Sesungguhnya Engkaulah Maha Pendengar.

Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami agar isteri kami dan anak cucu kami menjadi penyenang hati kami, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang2 yang bertaqwa (al-Furqan:74)

Thursday, December 29, 2011

Birokrasi dalam ibadat

Bismillah. Assalamualaikum.

Suatu hari berlakunya ops membanteras maksiat yang melibatkan jabatan pencegah maksiat dan pihak berkuasa tempatan di suatu tempat. Banyak pasangan lelaki-perempuan yang bukan muhrim dicekup berkhalwat dalam pelbagai keadaan. Setelah maklumat diambil, semua pasangan dibawa ke pejabat agama untuk tindakan lanjut.


Ustaz: Adik berdua tadi di dalam bilik hotel tu buat apa? Kenapa adik berdua hanya bertuala semasa pihak berkuasa memasuki bilik hotel adik?


"Kami.... Kami..." pasangan A tergagap-gagap memberi penjelasan dan hanya terhenti setakat itu.


Pasangan A: Kami saling mencintai ustaz. Kami sangat rindu. Sebab tu kami menyewa hotel untuk melapaskan kerinduan. Kami dah lama bercinta.

Ustaz: Kedua ibu bapa adik berdua tahu ke kamu sedang bercinta?

Pasangan A: Tahu, Ustaz.

Ustaz: Habis tu, mengapa kamu tidak berkahwin je.

Pasangan A: Memang kami nak berkahwin. Tapi...

Ustaz: Kenapa?

Pasangan A: Simpanan kami tak mencukupi.

Ustaz: Adik kerja apa? Dah lama ke kerja?

Pasangan A1: Saya kerja sebagai **** je. Baru setahun kerja. Pendapatan saya tak sampai Seribu sebulan. Mana sempat menabung, Ustaz.

Ustaz: Adik sebenarnya boleh je berkahwin dengan mengadakan majlis yang sederhana mengikut kemampuan. Tak perlu membazir bermewah dalam majlis perkahwinan. Yang penting perkahwinan harus disegerakan.

Pasangan A: Tapi ustaz....

Ustaz: kenapa?

Pasangan A1: errr..... Keluarga girlfriend saya ni meletakkan hantaran RM10k. Setahun kerja saya masih tak mampu kumpul sebanyak tu. Tu tak termasuk dengan barang hantaran, kos kenduri dan persiapan lain.

Ustaz: Sebenarnya dik, itu semua tidak penting. Perkara-perkara sedemikan sebenarnya hanya merumitkan proses perkahwinan. Yang penting adalah adik berdua "bernikah".

Pasangan A: Tapi ustaz... Itu la yang kedua keluarga kami mahukan.


Perbualan mereka berhenti setakat itu. Itu lah antara situasi yang berlaku melibatkan pasangan-pasangan yang dicekup. Namun pasangan yang dicekup tidak hanya melibatkan golongan berpendapatan rendah. Malah ada juga pasangan yang terdiri daripada golongan professional. Membuktikan aktiviti maksiat ini tidak ada batasannya. Malah ada pasangan yang terdiri daripada pelagai usia dari peringkat belasan tahun sehinggalah kepada peringkat setengah abad.


Itu lah yang hendak saya bincangkan di sini. Dikatakan kos kahwin yang melibatkan pelbagai budaya bermegah-megah berdasar majlis resepsi itu la menjadi faktor mengapa anak muda masa kini yang "berkahwin" dahulu sebelum bernikah.


Perkahwinan adalah ibadat. Perkahwinan diibarat sepeti mendirikan masjid. Meruntuhkan perkahwinan seseorang ibarat meruntuhkan masjid. Oleh itu sebaiknya permudahkan lah urusan ibadat.


Kadang-kadang masyarakat kita begitu pelik. Begitu banyak urusan ibadat DIPERSUSAHKAN dengan pelbagai kerenah birokrasi. Manakala urusan maksiat pula dipermudahkan untuk diamalkan.


Sebagai contoh peristiwa yang pernah berlaku kepada seorang hamba Allah, seorang wanita yang bekerja jauh dari kampung halaman. Kerana berada jauh, beliau mendapatkan maklumat prosedur perkahwinan melalui web jabatan agama secara online dan menelefon kepada pegawai di jabatan berkenaan. Daripada maklumat, pegawai berkenaan menyatakan borang-borang boleh didownload melalui web jabatan berkenaan, diisi da diserahkan kepada pejabat agama berdekatan mukim pengantin.


Setelah bersusah payah melengkapkan borang dan mengambil cuti khas untuk pulang ke kampung bagi menyelesaikan urusan permohonan kahwin di pejabat agama yang dimaksudkan, timbul kejadian yang tidak diingini. Pada borang yang di download menyatakan pengesahan status bujang boleh dibuat oleh Majikan atau penghulu mukim pengantin. Kerana jauh bekerja dari kampung, bakal pengantin hanya membuat pengesahan status bujang dari majikan. Apabila ke pejabat agama, pegawai bertugas menegaskan pengesahan status mesti dibuat oleh penghulu mukim pengantin.


Pejabat agama: Cik, pengesahan status mesti dibuat oleh penghulu mukim.

Bakal pengantin: Tetapi pada borang dinyatakan boleh buat pengesahan daripada majikan atau penghulu. Oleh kerana saya jauh bekerja dari kampung, saya buat pengesahan dari majikan la encik.

Pejabat agama: Tetapi ini borang lama. Dah lama ke cik download.

Bakal pengantin: Eh saya baru je download minggu lepas. Lagipon, pegawai di pejabat agama negeri mengatakan saya boleh menggunakan borang yang di download.

Pjejabat agama: Errr sebab itu kami tidak menggalakkan menggunakan borang download. Sekarang semua borang adalah BERBAYAR yang didapatan di pejabat agama daerah.

Bakal pengantin: Habis tu ini bukan salah saya kerana kerana jabatan ini yang tidak cekap dari penyelarasan maklumat. Apa saya perlu buat?

Pejabat agama: Cik kena balik ke mukim cik, dapatkan pengesahan status bujang dari penghulu. Kalau nak ikutkan prosedur, cik perlu isi borang baru dari pejabat agama ni. Tetapi jika cik hantar borang nni pun, kami terima dan kami akan proses.

Bakal pengantin: Eh kalau macam tu susah la saya nak lengkapkan borang. Sebab saya susah nk dapatkan tanda tangan wali hakim dan tanda tangan ketua kampung dalam borang ni. Saya kena guna borang yang saya download ni juga. Jadi kat mana nk letak cop penghulu sedangkan majikan saya dah cop di tempat pengesahan status bujang ni.

Pejabat agama: Owh tak mengapa, Cik minta penghulu cop di sebelah nama majikan.

Maka pengantin terpaksa kembali ke kampung untuk mencari penghulu bagi mendapatkan pengesahan status bujang. Sekembalinya bakal pengantin ke pejabat agama untuk menyerahkan borang, pegawai bertugas tadi tiada kerana sedang menyelesaikan urusan perkahwinan di bilik khas. Maka tugas di kaunter diambil alih oleh pegawai kedua.

Pejabat agama (2): Cik, kena tidak padamkan dahulu nama dan cop majikan, baru dicop nama penghulu pada status pengesahan bujang.

Bakal pengantin: Eh pegawai tadi mengarahkan saya buat sedemmikian.

Pejabat agama (2): Nanti tidak kemas la borang ni.

Bakal pengantin: Habis tu saya nak buat macaman?

Pejabat agama (2):Kita tunggu pegawai atasan saya ya.

Setelah lama menunggu, pegawai pertama tadi keluar dan menyelesaikan kekusutan tadi. Alhamdulillah borang selesai. Begitu lah antara kerenah yang sebenarnya remeh tetapi di persusahkan oleh manusia sendiri dalam urusan ibadat.

Sepatutnya semua pihak diberi kursus untuk bijak menyelesaikan urusan sebegini. Kenapa urusan ibadat tidak diremehkan?

Dan alhamdulillah semua urusan walaupun susah, akhirnya dipermudahkan penyelesaiannya kepada hamba Allah berkenaan. Antara pengajaran daripada kisah ini kepada bakal pengantin, dapatkanlah maklumat secukupnya daripada pejabat agama di mukim anda yang berhampiran, Kerana setiap negeri tidak sama prosesnya. Lebih malang ada juga beberapa daerah tidak ada penyelarasan walaupun dalam negeri yang sama. Sebab itu seeloknya dapatkan maklumat terperinci daripada pejabat agama daerah mukim anda sendiri.


Dalam kisah ini tak perlu menunding jari kepada mana-mana pihak; siapa yang benar dan siapa yang salah. Kerana dalam satu pertelingkahan, dan kita berada dipihak yang betul dan benar... itupun bukan jaminan kita untuk kita dimenangkan dan dibenarkan. Lebih-lebih lagi kita menegakkan benang yang basah. Carilah hikmah disebaliknya (Genta Rasa).

Rujukan:

Genta rasa (ustaz Pahrol)

Monday, December 5, 2011

Menulis suka2

Bab 1.

Penempatan Pertama Seorang Guru



Bismillahirrahmanirrahim. “Dan juga keadaan bumi ini, bagaimana Kami bentangkan ia sebagai hamparan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang terdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan padanya pelbagai jenis tanaman yang indah subur? (Kami adakan semuanya itu) untuk menjadi perhatian dan peringatan, (yang menunjukkan jalan kebenaran), kepada tiap-tiap seorang hamba Allah yang mahu kembali kepadaNya (dengan taat dan berbakti)” (Surah Qaf: 7-8)[1].

Zuhair melabuhkan punggungnya pada batu di tebing sungai sambil memerhatikan aliran Sungai Rejang yang seolah-olah tidak pernah jemu mengalir menyusuri bukit bukau yang menghijau. Tenang dan mendamaikan. Syukur. Dengan penuh takjub dia memuji kebesaran Penciptanya yang mewujudkan kombinasi sungai, bukit-bukau dan hutan belantara ini yang menjadi asas penempatan di kawasan tersebut. Joran dikeluarkan dan umpan roti yang diperam hampas kelapa terus dipasang pada mata kail. Dalam dingin pagi umpan tersebut dibaling ke tengah-tengah sungai.

“Mana pulak si Syaddad ni. Janji jam 6.30 pagi. Sudah jam 7.00 pagi pun belum Nampak batang hidung”.

Zuhair menarik jorannya dengan malas. Tidak seronok rasanya memancing tanpa Syaddad.

“Zuhair!”.

Tiba-tiba kelibat Syaddad yang memakai topi koboi kelihatan dari jauh di atas tebing. Sambil termengah-mengah dia menghampiri Zuhair.

“Sorry. Aku sakit perut tadi. Memulas rasanya hehe”.

“Kau ni, tak ada alasan lain ke nak bagi. Asyik sakit perut je pagi-pagi. Kau makan apa semalam? Nak kata salah makan, tak patut. Sebab aku pon makan apa yang kau makan semalam”.

Zuhair membidas alasan rakan serumahnya itu kerana dia tahu Syaddad memang liat bangun pagi lebih-lebih lagi pada hujung minggu.

“Ala kita kan baru sebulan kat sini. Masih dalam fasa adaptasi untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sini hehe. Di kampung subuh jam 6.05pagi, tetapi kat sini subuh 4.55 pagi. Mana la biasa aku bangun awal sangat. Nasib baik tadi sempat solat subuh dalam waktu”.

Zuhair mengakuinya. Perkara pertama yang disedari apabila menjejakkan kaki di Sarawak adalah perbezaan waktu solat. Hampir satu jam Sarawak lebih awal masuk waktu solat berbanding dengan Tanah Semenanjung. Maka mereka perlu bangun lebih awal untuk menunaikan solat subuh.

Tiba-tiba muncul seorang pemuda Iban dari jalan tikus sebuah bukit berhampiran mereka. Dengan membawa pendayung sampan, pemuda itu berjalan menghampiri mereka berdua tergesa-gesa. Kulitnya agak gelap tanda gigih bekerja dalam terik mentari. Cukup ramah. Sambil tersenyum dia menegur dalam Bahasa Iban,

“Hai cikgu. Nama berita dek?”[2]

“Aok, manah”[3]. Serentak dijawab Zuhair dan Syaddad seolah menghafal rutin dialog perbualan ini. Itu lah perkataan Iban pertama yang dipelajari pada hari pertama di Sarawak. Apabila mengajar di Sarawak, seboleh-bolehnya guru menguasai dialek bahasa tempatan. Bukan sahaja berguna di dalam pengajaran dan pembelajaran, malah hubungan guru dengan masyarakat setempat akan lebih mesra.

“Mayuh bulih ikan?[4]”

Ternganga Zuhair cuba memahami pertanyaan tersebut. Zuhair memang agak lambat dalam kecenderungan bahasa jika dibandingkan dengan Syaddad. Syaddad walaupun tidak sepenuhnya mahir dalam Bahasa Iban, namun mampu untuk menangkap maksud pertanyaan lelaki Iban itu. Syaddad cuba memikirkan jawapan yang sesuai untuk menjawab soalan itu. Boleh sahaja dia menjawab dalam Bahasa Malaysia, namun sebolehnya dia ingin mencuba berdialog dalam bahasa tempatan walaupun dalam keadaan merangkak. Baginya jika masuk kandang kambing, perlu la mengembek.

“Nadai.. Baru nginti[5].”

Pemuda Iban itu seolah-olah ingin cepat ke sesuatu tempat. Melewati Zuhair dan Syaddad, lalu pemuda itu membuka ikatan tali perahu di tangga wharf . Zuhair dan Syaddad dengan pantas mengankat jorannya untuk memberi ruang kepada pemuda Iban itu mengemudikan perahu. Dari otot tangan dan otot abdominal pemuda itu dapat dilihat betapa gigihnya dia bekerja seharian mencari rezeki.

“Ka kini dek?[6]” Syaddad melontar persoalan sambil memeriksa umpan jorannya.

“Ka ngelayang ke seberai. Laban rumah aku ka seberai.[7]”


Syaddad hanya menganggukkan kepala dan terus melontar kembali jorannya ke tengah-tengah sungai. Zuhair pula menggaru kepala yang tidak gatal memikirkan maksud perbualan tadi. Dalam hatinya memuji kebolehan si Syaddad yang baru sebulan sudah boleh menggunakan bahasa tempatan walaupun kedengaran macam budak baru belajar bercakap.

“Apa yang kau cakap tadi? Aku tak faham hehe..”

“Sebenarnya ayat yang last tadi aku pun tak faham haha. Sebab tu aku angguk je.” Dengan selamba Syaddad berterus terang.

“Abis tadi kau bercakap macam kau faham.”

“Aku agak-agak je maksud dia. Tadi dia sebut seberai, tu maknanya mesti dia nak ke seberang. Rumah dia di seberang la kut.”


Mereka berpandangan dan tergelak. Dalam diri masing-masing timbul kesedaran untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Iban supaya lebih dekat lagi dengan masyarakat setempat. Mereka pecaya hubungan yang baik dengan masyarakat sangat membantu dalam pendidikan. Kerana tugas guru bukan hanya di sekolah, malah turut sebagai agen sosial mendidik masyarakat.

Zuhair dan Syaddad tidak menduga ditempatkan di Kapit untuk memulakan perkhidmatan mereka sebagai guru di SMK Sg Amang. Kapit juga la yang menemukan mereka sebagai sahabat baik. Zuhair merupakan guru Pendidikan Islam dan sudah berkahwin. Isteri Zuhair sedang menamatkan Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI) dan terpaksa berjauhan dengan suaminya buat sementara. Manakala Syaddad yang masih bujang ditugaskan untuk mengajar subjek Pengajian Am tingkatan 6 yang tidak langsung berkaitan dengan opsyennya sebagai guru matematik. Namun Syaddad bersyukur dan menganggap itu adalah cabarannya sebagai pendidik yang mesti berusaha untuk menjadi guru yang serba boleh.

Bahagian Kapit terletak di tengah-tengah Kepulauan Borneo bersempadan dengan Kalimantan (Indonesia) di sebelah selatan dan timur, satu-satunya bahagian di Sarawak yang tidak dapat dihubungi menggunakan jalan darat. Ianya merupakan pekan di hulu Sungai Rajang, sungai yang mencecah 551 kilometer panjang ini menjadikan Kapit sebagai satu bahagian yang unik dan sangat mencabar untuk didiami. Hampir seratus peratus bergantung kepada perhubungan air iaitu melalui Sungai Rejang. Bandar utama terdekat yang boleh dihubungi Kapit adalah Sibu melalui pengankutan bot ekpress sejauh 200 kilometer selama 3 hingga 4 jam. Boleh dikatakan sepertiga keluasan negeri Sarawak adalah terdiri daripada Bahagian Kapit.

Syaddad dan Zuhair bersyukur kerana ditempatkan di pekan Kapit yang mempunyai kemudahan paling asas. Lagi pun mengajar di sekolah menengah kebiasaannya terletak di bandar dan pekan yang menjadi kawasan tumpuan masyarakat. Lebih 80% daripada penduduk di Bahagian Kapit menetap di kawasan pedalaman dimana masyarakat Iban merupakan kumpulan etnik yang terbesar dengan peratusan penduduk melebihi separuh diikuti oleh kumpulan etnik kecil lain seperti Orang Ulu, Cina, Melayu dan Melanau. Maka tidak hairan anak didik mereka majoritinya adalah dari pedalaman dan menetap di asrama sekolah.

Disebabkan kemudahan jalan raya yang terhad di Kapit, kebanyakan masyarakat lebih selesa memiliki motosikal untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja. Begitu juga guru-guru muda di Kapit lebih selesa berulang alik dengan motosikal. Pergerakan masyarakat yang terhad hanya sekitar Kapit menyebabkan tidak banyak tempat yang boleh dituju menjadikan kapit seolah-olah seperti sebuah pulau. Kenderaan motor seperti kereta dan van diangkut dengan tokan besar dari Sibu ke Kapit yang memakan masa beberapa hari menyusuri Sungai Rejang. Kesannya kos hidup di Kapit agak tinggi kerana terpaksa menanggung kos pengankutan yang agak rumit.





[1] Al-Quran: Qaf:7-8

[2] “Hai cikgu. Apa khabar?”

[3] “Ya, Baik”.

[4] “Banyak ke dapat ikan?”

[5]“Tak ada. Baru memancing.”

[6] “Nak ke mana tu?”

[7] “Nak ke seberang. Rumah saya di seberang sana.”


...bersambung.. (minta shbt komen dan beri tunjuk ajar dlm penulisan esei saya)

Popular Posts

Bismillah

Salam sayang dari kejauhan buat isteriku yang sentiasa menghitung hari untuk bertemu suaminya.

Jentera Z1000

Jentera Z1000
Satu kepuasan

Renungan