About Me

header ads

Menulis suka2

Bab 1.

Penempatan Pertama Seorang Guru



Bismillahirrahmanirrahim. “Dan juga keadaan bumi ini, bagaimana Kami bentangkan ia sebagai hamparan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang terdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan padanya pelbagai jenis tanaman yang indah subur? (Kami adakan semuanya itu) untuk menjadi perhatian dan peringatan, (yang menunjukkan jalan kebenaran), kepada tiap-tiap seorang hamba Allah yang mahu kembali kepadaNya (dengan taat dan berbakti)” (Surah Qaf: 7-8)[1].

Zuhair melabuhkan punggungnya pada batu di tebing sungai sambil memerhatikan aliran Sungai Rejang yang seolah-olah tidak pernah jemu mengalir menyusuri bukit bukau yang menghijau. Tenang dan mendamaikan. Syukur. Dengan penuh takjub dia memuji kebesaran Penciptanya yang mewujudkan kombinasi sungai, bukit-bukau dan hutan belantara ini yang menjadi asas penempatan di kawasan tersebut. Joran dikeluarkan dan umpan roti yang diperam hampas kelapa terus dipasang pada mata kail. Dalam dingin pagi umpan tersebut dibaling ke tengah-tengah sungai.

“Mana pulak si Syaddad ni. Janji jam 6.30 pagi. Sudah jam 7.00 pagi pun belum Nampak batang hidung”.

Zuhair menarik jorannya dengan malas. Tidak seronok rasanya memancing tanpa Syaddad.

“Zuhair!”.

Tiba-tiba kelibat Syaddad yang memakai topi koboi kelihatan dari jauh di atas tebing. Sambil termengah-mengah dia menghampiri Zuhair.

“Sorry. Aku sakit perut tadi. Memulas rasanya hehe”.

“Kau ni, tak ada alasan lain ke nak bagi. Asyik sakit perut je pagi-pagi. Kau makan apa semalam? Nak kata salah makan, tak patut. Sebab aku pon makan apa yang kau makan semalam”.

Zuhair membidas alasan rakan serumahnya itu kerana dia tahu Syaddad memang liat bangun pagi lebih-lebih lagi pada hujung minggu.

“Ala kita kan baru sebulan kat sini. Masih dalam fasa adaptasi untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sini hehe. Di kampung subuh jam 6.05pagi, tetapi kat sini subuh 4.55 pagi. Mana la biasa aku bangun awal sangat. Nasib baik tadi sempat solat subuh dalam waktu”.

Zuhair mengakuinya. Perkara pertama yang disedari apabila menjejakkan kaki di Sarawak adalah perbezaan waktu solat. Hampir satu jam Sarawak lebih awal masuk waktu solat berbanding dengan Tanah Semenanjung. Maka mereka perlu bangun lebih awal untuk menunaikan solat subuh.

Tiba-tiba muncul seorang pemuda Iban dari jalan tikus sebuah bukit berhampiran mereka. Dengan membawa pendayung sampan, pemuda itu berjalan menghampiri mereka berdua tergesa-gesa. Kulitnya agak gelap tanda gigih bekerja dalam terik mentari. Cukup ramah. Sambil tersenyum dia menegur dalam Bahasa Iban,

“Hai cikgu. Nama berita dek?”[2]

“Aok, manah”[3]. Serentak dijawab Zuhair dan Syaddad seolah menghafal rutin dialog perbualan ini. Itu lah perkataan Iban pertama yang dipelajari pada hari pertama di Sarawak. Apabila mengajar di Sarawak, seboleh-bolehnya guru menguasai dialek bahasa tempatan. Bukan sahaja berguna di dalam pengajaran dan pembelajaran, malah hubungan guru dengan masyarakat setempat akan lebih mesra.

“Mayuh bulih ikan?[4]”

Ternganga Zuhair cuba memahami pertanyaan tersebut. Zuhair memang agak lambat dalam kecenderungan bahasa jika dibandingkan dengan Syaddad. Syaddad walaupun tidak sepenuhnya mahir dalam Bahasa Iban, namun mampu untuk menangkap maksud pertanyaan lelaki Iban itu. Syaddad cuba memikirkan jawapan yang sesuai untuk menjawab soalan itu. Boleh sahaja dia menjawab dalam Bahasa Malaysia, namun sebolehnya dia ingin mencuba berdialog dalam bahasa tempatan walaupun dalam keadaan merangkak. Baginya jika masuk kandang kambing, perlu la mengembek.

“Nadai.. Baru nginti[5].”

Pemuda Iban itu seolah-olah ingin cepat ke sesuatu tempat. Melewati Zuhair dan Syaddad, lalu pemuda itu membuka ikatan tali perahu di tangga wharf . Zuhair dan Syaddad dengan pantas mengankat jorannya untuk memberi ruang kepada pemuda Iban itu mengemudikan perahu. Dari otot tangan dan otot abdominal pemuda itu dapat dilihat betapa gigihnya dia bekerja seharian mencari rezeki.

“Ka kini dek?[6]” Syaddad melontar persoalan sambil memeriksa umpan jorannya.

“Ka ngelayang ke seberai. Laban rumah aku ka seberai.[7]”


Syaddad hanya menganggukkan kepala dan terus melontar kembali jorannya ke tengah-tengah sungai. Zuhair pula menggaru kepala yang tidak gatal memikirkan maksud perbualan tadi. Dalam hatinya memuji kebolehan si Syaddad yang baru sebulan sudah boleh menggunakan bahasa tempatan walaupun kedengaran macam budak baru belajar bercakap.

“Apa yang kau cakap tadi? Aku tak faham hehe..”

“Sebenarnya ayat yang last tadi aku pun tak faham haha. Sebab tu aku angguk je.” Dengan selamba Syaddad berterus terang.

“Abis tadi kau bercakap macam kau faham.”

“Aku agak-agak je maksud dia. Tadi dia sebut seberai, tu maknanya mesti dia nak ke seberang. Rumah dia di seberang la kut.”


Mereka berpandangan dan tergelak. Dalam diri masing-masing timbul kesedaran untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Iban supaya lebih dekat lagi dengan masyarakat setempat. Mereka pecaya hubungan yang baik dengan masyarakat sangat membantu dalam pendidikan. Kerana tugas guru bukan hanya di sekolah, malah turut sebagai agen sosial mendidik masyarakat.

Zuhair dan Syaddad tidak menduga ditempatkan di Kapit untuk memulakan perkhidmatan mereka sebagai guru di SMK Sg Amang. Kapit juga la yang menemukan mereka sebagai sahabat baik. Zuhair merupakan guru Pendidikan Islam dan sudah berkahwin. Isteri Zuhair sedang menamatkan Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI) dan terpaksa berjauhan dengan suaminya buat sementara. Manakala Syaddad yang masih bujang ditugaskan untuk mengajar subjek Pengajian Am tingkatan 6 yang tidak langsung berkaitan dengan opsyennya sebagai guru matematik. Namun Syaddad bersyukur dan menganggap itu adalah cabarannya sebagai pendidik yang mesti berusaha untuk menjadi guru yang serba boleh.

Bahagian Kapit terletak di tengah-tengah Kepulauan Borneo bersempadan dengan Kalimantan (Indonesia) di sebelah selatan dan timur, satu-satunya bahagian di Sarawak yang tidak dapat dihubungi menggunakan jalan darat. Ianya merupakan pekan di hulu Sungai Rajang, sungai yang mencecah 551 kilometer panjang ini menjadikan Kapit sebagai satu bahagian yang unik dan sangat mencabar untuk didiami. Hampir seratus peratus bergantung kepada perhubungan air iaitu melalui Sungai Rejang. Bandar utama terdekat yang boleh dihubungi Kapit adalah Sibu melalui pengankutan bot ekpress sejauh 200 kilometer selama 3 hingga 4 jam. Boleh dikatakan sepertiga keluasan negeri Sarawak adalah terdiri daripada Bahagian Kapit.

Syaddad dan Zuhair bersyukur kerana ditempatkan di pekan Kapit yang mempunyai kemudahan paling asas. Lagi pun mengajar di sekolah menengah kebiasaannya terletak di bandar dan pekan yang menjadi kawasan tumpuan masyarakat. Lebih 80% daripada penduduk di Bahagian Kapit menetap di kawasan pedalaman dimana masyarakat Iban merupakan kumpulan etnik yang terbesar dengan peratusan penduduk melebihi separuh diikuti oleh kumpulan etnik kecil lain seperti Orang Ulu, Cina, Melayu dan Melanau. Maka tidak hairan anak didik mereka majoritinya adalah dari pedalaman dan menetap di asrama sekolah.

Disebabkan kemudahan jalan raya yang terhad di Kapit, kebanyakan masyarakat lebih selesa memiliki motosikal untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja. Begitu juga guru-guru muda di Kapit lebih selesa berulang alik dengan motosikal. Pergerakan masyarakat yang terhad hanya sekitar Kapit menyebabkan tidak banyak tempat yang boleh dituju menjadikan kapit seolah-olah seperti sebuah pulau. Kenderaan motor seperti kereta dan van diangkut dengan tokan besar dari Sibu ke Kapit yang memakan masa beberapa hari menyusuri Sungai Rejang. Kesannya kos hidup di Kapit agak tinggi kerana terpaksa menanggung kos pengankutan yang agak rumit.





[1] Al-Quran: Qaf:7-8

[2] “Hai cikgu. Apa khabar?”

[3] “Ya, Baik”.

[4] “Banyak ke dapat ikan?”

[5]“Tak ada. Baru memancing.”

[6] “Nak ke mana tu?”

[7] “Nak ke seberang. Rumah saya di seberang sana.”


...bersambung.. (minta shbt komen dan beri tunjuk ajar dlm penulisan esei saya)

Post a Comment

0 Comments