Assalamualaikum..

Ya Allah, Kau percomelkanlah keselamatan dan kesihatanku, Kau teguhkan ketaqwaanku dan istiqamahku, jauhkanlah diriku dari diperkenakan kesedihan dan kekecewaan pada masa sekarang dan akan datang, Sesungguhnya Engkaulah Maha Pendengar.

Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami agar isteri kami dan anak cucu kami menjadi penyenang hati kami, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang2 yang bertaqwa (al-Furqan:74)

Monday, August 15, 2011

Kurniaan Menjadi ISTIDRAJ

Bismillah. Suatu hari kawe diberi cadangan untuk menontoh filem Ketika Cinta Bertasbih (KCB) sekadar untuk diajak berfikir menghayati plot cerita dan mesej pengajaran. Dan alhamdulillah tiba-tiba kawe tertarik dengan satu adengan mengenai perbincangan Kitab al-Hikam yang ditulis oleh Syaikh Ibnu Athoillah. Sebelum ini kawe pernah mendengar nama kitab ini, tetapi tidak pula untuk cuba mendalaminya. Tetapi kali ini terdetik untuk cuba berkenalan dengan kitab al-Hikam ini.

Al-Hikam ialah perkataan jamak bagi “hikmah” bermakna “Tiap-tiap kalimah yang terkandung dalamnya ilmu yang bermanfaat” atau “material ilmu yang bermanfaat” seperti ilmu Fiqah, ilmu Tauhid dan ilmu Tasawuf. Al-Hikam mengandungi intisari yang padat mengenai ilmu Tauhid dan Tasawuf. Tasawuf adalah ilmu yang mengupas bagaimana mensucikan diri daripada sifat-sifat tercela (sifat mazmumah) dan menjaga ibadah serta semua amal perbuatan supaya terhindar daripada penyakit-penyakit hati yang berbahaya seperti takabur, riyak dan ujub. Tauhid pula berhubung rapat dengan akidah Islamiah untuk mengenalkan hamba dengan pencipta-Nya pada kadar yang lebih dekat (akrab). 99 hikmah-hikmah yang merangkumi kandungan kitab al-Hikam membicarakan tentang pokok dan hakikat ilmu Tauhid yang menjurus kepada membimbing mereka kepada menuju Allah SWT (sipnopsis terjemahan kitab).

Kawe sangat tertarik apabila membaca bab ke 75 syarah al-Hikam mengenai KURNIAAN YANG MENJADI ISTIDRAJ. Dimana pengarang menerangkan lagi bahawa "TAKUTLAH KAMU TERHADAP KURNIAAN ALLAH S.W.T YANG SELALU KAMU PEROLEHI SEDANGKAN KAMU MELANGGAR PERINTAH-NYA, JANGAN SAMPAI KURNIAAN ITU SEMATA-MATA ISTIDRAJ. (FIRMAN ALLAH S.W.T DALAM SURAH AL-A’RAF, AYAT 182): KAMI AKAN BINASAKAN MEREKA PERLAHAN-LAHAN DENGAN JALAN YANG MEREKA TIDAK SEDAR".

MasyaAllah, tanpa kita sedari banyak kita lupa dan terlalai dengan nikmat dan kurniaan Allah kepada kita. Kemewahan dan kesenangan yang dimiliki oleh mereka yang tidak beriman dan ahli maksiat mempesonakan sebahagian orang-orang Islam yang lemah imam. Mereka tidak dapat membezakan kurniaan yang mengandungi nikmat dan kurniaan yang telah dicabut nikmat daripadanya.

Istidraj bermakna kurniaan yang dihulur terus menerus kepada ahli maksiat, iaitu perkara berkaitan kurniaan yang tidak mengandungi nikmat. Kurniaan yang seperti ini membuat ahli maksiat bertambah lalai dan bertambah derhaka kepada Allah s.w.t. Apabila kelalaian dan kederhakaan mereka telah melampaui batas maka Allah s.w.t mendatangkan bala yang besar kepada mereka. Mereka adalah umpama orang yang diangkat ke tempat yang tinggi sambil mereka menganggap pengangkatan itu sebagai satu kemuliaan namun, setelah mereka berada di tempat yang tinggi itu mereka dicampakkan ke bawah. Kejatuhan yang demikian memberi kesakitan yang lebih kuat. Firman Allah,

"Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)". ( al-An’aam:44 )

Kita kena sentiasa beringat-ingat andai banyak nikmat dan kurniaan diberi Allah kepada kita namun dalam masa yang sama kita masih leka melakukan maksiat malah bangga dengan dosa yang kita lakukan. Sekiranya kurniaan itu diturunkan melalui ISTIDRAJ, maka kehancuran pada diri kita akan berlaku. Maka beringat lah. Sebagai contoh adalah Firaun dan Namrud yang diberi kurniaan melalui ISTIDRAJ. Mereka diberi tempoh yang cukup panjang untuk bertaubat, namun akhirnya kebinasaan diberi kepada mereka.

Oleh itu kita kena sentiasa berdoa dan banyak kan muhasabah diri kerana orang-orang yang beriman sentiasa mengawasi diri mereka agar kesenangan dan kemewahan tidak melalaikan mereka yang boleh menyebabkan mereka jatuh ke dalam suasana istidraj.

No comments:

Popular Posts

Bismillah

Salam sayang dari kejauhan buat isteriku yang sentiasa menghitung hari untuk bertemu suaminya.

Jentera Z1000

Jentera Z1000
Satu kepuasan

Renungan