About Me

header ads

Prostar SMK Selirik; Tonjol daya kreativiti pelajar

Oleh ASHRAF ABD. MANAF / Utusan/AHMAD ADHAM
utusansarawak@utusan.com.my
KAPIT 19 Mei – Seramai 60 pelajar sekolah yang terdiri daripada ahli Kelab Doktor Muda dan Kelab Program Sihat Tanpa Dadah (Prostar) baru-baru ini berkumpul di Dewan Suarah, di sini, bagi menjayakan Mini Konvensyen Doktor Muda Dan Prostar 2011 Bahagian Kapit yang julung-julung kali diadakan.

Membabitkan dua sekolah menengah serta empat sekolah rendah, program yang dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan Kapit itu berjaya mencungkil bakat serta menonjolkan daya kreativiti pelajar.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selirik, SMK Kapit, Sekolah Kebangsaan (SK) Kapit, SK Sungai Amang, SK Methodist dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hock Lam.

Timbalan Residen (Sosial) Bahagian Kapit, Mohd. Ikmal Abdullah yang merasmikan majlis penutupan program tersebut ketika ditemui berkata, beliau amat bangga dengan konvensyen yang diadakan dan berharap pada tahun hadapan, program tersebut akan disertai oleh lebih banyak sekolah.
Tambahan pula, katanya, Kelab Doktor Muda dan Prostar merupakan kelab yang cuba menerapkan elemen gaya hidup sihat di kalangan pelajar dan remaja.

“Dengan adanya program seumpama ini, saya berharap semua pelajar akan menitikberatkan soal kebersihan, penjagaan serta keselamatan diri pada usia muda.

“Jika sesuatu amalan itu sudah menjadi budaya dalam hidup pelajar, sudah pasti mereka tidak akan kekok melakukannya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut melahirkan harapan supaya program berkenaan dianjurkan di lokasi yang menjadi tarikan orang ramai pada masa akan datang.

“Ini kerana saya dapati terdapat banyak informasi yang dipamerkan oleh para peserta terlibat mampu mendidik orang ramai agar sentiasa menjaga kebersihan dan mementingkan kesihatan diri,” katanya.
Diminta mengulas tentang bahan pameran serta pelbagai pertandingan yang diadakan, Mohd. Ikmal mengakui cukup teruja dengan daya kreativiti yang dipamerkan pelajar.

Katanya, walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti sekolah khususnya yang melibatkan akademik, mereka masih mampu menyiapkan bahan pameran yang sarat dengan informasi serta persembahan yang menghiburkan.

“Persembahan yang dilakukan oleh pelajar sangat menarik. Walaupun kita asyik ketawa dengan gelagat pelajar ketika berdrama, namun apa yang lebih penting ialah mesej yang cuba disampaikan.

“Oleh itu, saya mengucapkan syabas kepada semua peserta yang terlibat serta guru-guru pembimbing yang banyak memberikan tunjuk ajar kepada pelajar,” katanya.


Sementara itu, dalam pelbagai pertandingan kategori Kelab Prostar yang diadakan, SMK Selirik berjaya mengungguli enam daripada tujuh kategori yang dipertandingkan.

Kategori tersebut ialah Projek Inovasi, Out Reach, Kelab Prostar Cemerlang, Penyelaras Kelab Prostar Terbaik, Prostarian Cemerlang dan Persembahan Bakat manakala pertandingan karaoke pula dimenangi SMK Kapit.

Bagi kategori Doktor Muda pula, pertandingan Projek Inovasi dan Pameran dimenangi oleh SJKC Hock Lam manakala pertandingan Buku Informasi, Sekolah Cemerlang Doktor Muda dan bercerita bahasa Inggeris dimenangi oleh SK Methodist.

SK Kapit muncul sebagai johan pertandingan Kuiz Kesihatan dan Bercerita Bahasa Melayu dan Tokoh Doktor Muda menjadi milik pelajar SK Sungai Amang.

Kesemua pemenang akan menyertai Konvensyen Peringkat Negeri yang bakal diadakan di Kuching tidak lama lagi.


Post a Comment

0 Comments