Assalamualaikum..

Ya Allah, Kau percomelkanlah keselamatan dan kesihatanku, Kau teguhkan ketaqwaanku dan istiqamahku, jauhkanlah diriku dari diperkenakan kesedihan dan kekecewaan pada masa sekarang dan akan datang, Sesungguhnya Engkaulah Maha Pendengar.

Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami agar isteri kami dan anak cucu kami menjadi penyenang hati kami, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang2 yang bertaqwa (al-Furqan:74)

Thursday, December 29, 2011

Birokrasi dalam ibadat

Bismillah. Assalamualaikum.

Suatu hari berlakunya ops membanteras maksiat yang melibatkan jabatan pencegah maksiat dan pihak berkuasa tempatan di suatu tempat. Banyak pasangan lelaki-perempuan yang bukan muhrim dicekup berkhalwat dalam pelbagai keadaan. Setelah maklumat diambil, semua pasangan dibawa ke pejabat agama untuk tindakan lanjut.


Ustaz: Adik berdua tadi di dalam bilik hotel tu buat apa? Kenapa adik berdua hanya bertuala semasa pihak berkuasa memasuki bilik hotel adik?


"Kami.... Kami..." pasangan A tergagap-gagap memberi penjelasan dan hanya terhenti setakat itu.


Pasangan A: Kami saling mencintai ustaz. Kami sangat rindu. Sebab tu kami menyewa hotel untuk melapaskan kerinduan. Kami dah lama bercinta.

Ustaz: Kedua ibu bapa adik berdua tahu ke kamu sedang bercinta?

Pasangan A: Tahu, Ustaz.

Ustaz: Habis tu, mengapa kamu tidak berkahwin je.

Pasangan A: Memang kami nak berkahwin. Tapi...

Ustaz: Kenapa?

Pasangan A: Simpanan kami tak mencukupi.

Ustaz: Adik kerja apa? Dah lama ke kerja?

Pasangan A1: Saya kerja sebagai **** je. Baru setahun kerja. Pendapatan saya tak sampai Seribu sebulan. Mana sempat menabung, Ustaz.

Ustaz: Adik sebenarnya boleh je berkahwin dengan mengadakan majlis yang sederhana mengikut kemampuan. Tak perlu membazir bermewah dalam majlis perkahwinan. Yang penting perkahwinan harus disegerakan.

Pasangan A: Tapi ustaz....

Ustaz: kenapa?

Pasangan A1: errr..... Keluarga girlfriend saya ni meletakkan hantaran RM10k. Setahun kerja saya masih tak mampu kumpul sebanyak tu. Tu tak termasuk dengan barang hantaran, kos kenduri dan persiapan lain.

Ustaz: Sebenarnya dik, itu semua tidak penting. Perkara-perkara sedemikan sebenarnya hanya merumitkan proses perkahwinan. Yang penting adalah adik berdua "bernikah".

Pasangan A: Tapi ustaz... Itu la yang kedua keluarga kami mahukan.


Perbualan mereka berhenti setakat itu. Itu lah antara situasi yang berlaku melibatkan pasangan-pasangan yang dicekup. Namun pasangan yang dicekup tidak hanya melibatkan golongan berpendapatan rendah. Malah ada juga pasangan yang terdiri daripada golongan professional. Membuktikan aktiviti maksiat ini tidak ada batasannya. Malah ada pasangan yang terdiri daripada pelagai usia dari peringkat belasan tahun sehinggalah kepada peringkat setengah abad.


Itu lah yang hendak saya bincangkan di sini. Dikatakan kos kahwin yang melibatkan pelbagai budaya bermegah-megah berdasar majlis resepsi itu la menjadi faktor mengapa anak muda masa kini yang "berkahwin" dahulu sebelum bernikah.


Perkahwinan adalah ibadat. Perkahwinan diibarat sepeti mendirikan masjid. Meruntuhkan perkahwinan seseorang ibarat meruntuhkan masjid. Oleh itu sebaiknya permudahkan lah urusan ibadat.


Kadang-kadang masyarakat kita begitu pelik. Begitu banyak urusan ibadat DIPERSUSAHKAN dengan pelbagai kerenah birokrasi. Manakala urusan maksiat pula dipermudahkan untuk diamalkan.


Sebagai contoh peristiwa yang pernah berlaku kepada seorang hamba Allah, seorang wanita yang bekerja jauh dari kampung halaman. Kerana berada jauh, beliau mendapatkan maklumat prosedur perkahwinan melalui web jabatan agama secara online dan menelefon kepada pegawai di jabatan berkenaan. Daripada maklumat, pegawai berkenaan menyatakan borang-borang boleh didownload melalui web jabatan berkenaan, diisi da diserahkan kepada pejabat agama berdekatan mukim pengantin.


Setelah bersusah payah melengkapkan borang dan mengambil cuti khas untuk pulang ke kampung bagi menyelesaikan urusan permohonan kahwin di pejabat agama yang dimaksudkan, timbul kejadian yang tidak diingini. Pada borang yang di download menyatakan pengesahan status bujang boleh dibuat oleh Majikan atau penghulu mukim pengantin. Kerana jauh bekerja dari kampung, bakal pengantin hanya membuat pengesahan status bujang dari majikan. Apabila ke pejabat agama, pegawai bertugas menegaskan pengesahan status mesti dibuat oleh penghulu mukim pengantin.


Pejabat agama: Cik, pengesahan status mesti dibuat oleh penghulu mukim.

Bakal pengantin: Tetapi pada borang dinyatakan boleh buat pengesahan daripada majikan atau penghulu. Oleh kerana saya jauh bekerja dari kampung, saya buat pengesahan dari majikan la encik.

Pejabat agama: Tetapi ini borang lama. Dah lama ke cik download.

Bakal pengantin: Eh saya baru je download minggu lepas. Lagipon, pegawai di pejabat agama negeri mengatakan saya boleh menggunakan borang yang di download.

Pjejabat agama: Errr sebab itu kami tidak menggalakkan menggunakan borang download. Sekarang semua borang adalah BERBAYAR yang didapatan di pejabat agama daerah.

Bakal pengantin: Habis tu ini bukan salah saya kerana kerana jabatan ini yang tidak cekap dari penyelarasan maklumat. Apa saya perlu buat?

Pejabat agama: Cik kena balik ke mukim cik, dapatkan pengesahan status bujang dari penghulu. Kalau nak ikutkan prosedur, cik perlu isi borang baru dari pejabat agama ni. Tetapi jika cik hantar borang nni pun, kami terima dan kami akan proses.

Bakal pengantin: Eh kalau macam tu susah la saya nak lengkapkan borang. Sebab saya susah nk dapatkan tanda tangan wali hakim dan tanda tangan ketua kampung dalam borang ni. Saya kena guna borang yang saya download ni juga. Jadi kat mana nk letak cop penghulu sedangkan majikan saya dah cop di tempat pengesahan status bujang ni.

Pejabat agama: Owh tak mengapa, Cik minta penghulu cop di sebelah nama majikan.

Maka pengantin terpaksa kembali ke kampung untuk mencari penghulu bagi mendapatkan pengesahan status bujang. Sekembalinya bakal pengantin ke pejabat agama untuk menyerahkan borang, pegawai bertugas tadi tiada kerana sedang menyelesaikan urusan perkahwinan di bilik khas. Maka tugas di kaunter diambil alih oleh pegawai kedua.

Pejabat agama (2): Cik, kena tidak padamkan dahulu nama dan cop majikan, baru dicop nama penghulu pada status pengesahan bujang.

Bakal pengantin: Eh pegawai tadi mengarahkan saya buat sedemmikian.

Pejabat agama (2): Nanti tidak kemas la borang ni.

Bakal pengantin: Habis tu saya nak buat macaman?

Pejabat agama (2):Kita tunggu pegawai atasan saya ya.

Setelah lama menunggu, pegawai pertama tadi keluar dan menyelesaikan kekusutan tadi. Alhamdulillah borang selesai. Begitu lah antara kerenah yang sebenarnya remeh tetapi di persusahkan oleh manusia sendiri dalam urusan ibadat.

Sepatutnya semua pihak diberi kursus untuk bijak menyelesaikan urusan sebegini. Kenapa urusan ibadat tidak diremehkan?

Dan alhamdulillah semua urusan walaupun susah, akhirnya dipermudahkan penyelesaiannya kepada hamba Allah berkenaan. Antara pengajaran daripada kisah ini kepada bakal pengantin, dapatkanlah maklumat secukupnya daripada pejabat agama di mukim anda yang berhampiran, Kerana setiap negeri tidak sama prosesnya. Lebih malang ada juga beberapa daerah tidak ada penyelarasan walaupun dalam negeri yang sama. Sebab itu seeloknya dapatkan maklumat terperinci daripada pejabat agama daerah mukim anda sendiri.


Dalam kisah ini tak perlu menunding jari kepada mana-mana pihak; siapa yang benar dan siapa yang salah. Kerana dalam satu pertelingkahan, dan kita berada dipihak yang betul dan benar... itupun bukan jaminan kita untuk kita dimenangkan dan dibenarkan. Lebih-lebih lagi kita menegakkan benang yang basah. Carilah hikmah disebaliknya (Genta Rasa).

Rujukan:

Genta rasa (ustaz Pahrol)

Monday, December 5, 2011

Menulis suka2

Bab 1.

Penempatan Pertama Seorang Guru



Bismillahirrahmanirrahim. “Dan juga keadaan bumi ini, bagaimana Kami bentangkan ia sebagai hamparan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang terdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan padanya pelbagai jenis tanaman yang indah subur? (Kami adakan semuanya itu) untuk menjadi perhatian dan peringatan, (yang menunjukkan jalan kebenaran), kepada tiap-tiap seorang hamba Allah yang mahu kembali kepadaNya (dengan taat dan berbakti)” (Surah Qaf: 7-8)[1].

Zuhair melabuhkan punggungnya pada batu di tebing sungai sambil memerhatikan aliran Sungai Rejang yang seolah-olah tidak pernah jemu mengalir menyusuri bukit bukau yang menghijau. Tenang dan mendamaikan. Syukur. Dengan penuh takjub dia memuji kebesaran Penciptanya yang mewujudkan kombinasi sungai, bukit-bukau dan hutan belantara ini yang menjadi asas penempatan di kawasan tersebut. Joran dikeluarkan dan umpan roti yang diperam hampas kelapa terus dipasang pada mata kail. Dalam dingin pagi umpan tersebut dibaling ke tengah-tengah sungai.

“Mana pulak si Syaddad ni. Janji jam 6.30 pagi. Sudah jam 7.00 pagi pun belum Nampak batang hidung”.

Zuhair menarik jorannya dengan malas. Tidak seronok rasanya memancing tanpa Syaddad.

“Zuhair!”.

Tiba-tiba kelibat Syaddad yang memakai topi koboi kelihatan dari jauh di atas tebing. Sambil termengah-mengah dia menghampiri Zuhair.

“Sorry. Aku sakit perut tadi. Memulas rasanya hehe”.

“Kau ni, tak ada alasan lain ke nak bagi. Asyik sakit perut je pagi-pagi. Kau makan apa semalam? Nak kata salah makan, tak patut. Sebab aku pon makan apa yang kau makan semalam”.

Zuhair membidas alasan rakan serumahnya itu kerana dia tahu Syaddad memang liat bangun pagi lebih-lebih lagi pada hujung minggu.

“Ala kita kan baru sebulan kat sini. Masih dalam fasa adaptasi untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sini hehe. Di kampung subuh jam 6.05pagi, tetapi kat sini subuh 4.55 pagi. Mana la biasa aku bangun awal sangat. Nasib baik tadi sempat solat subuh dalam waktu”.

Zuhair mengakuinya. Perkara pertama yang disedari apabila menjejakkan kaki di Sarawak adalah perbezaan waktu solat. Hampir satu jam Sarawak lebih awal masuk waktu solat berbanding dengan Tanah Semenanjung. Maka mereka perlu bangun lebih awal untuk menunaikan solat subuh.

Tiba-tiba muncul seorang pemuda Iban dari jalan tikus sebuah bukit berhampiran mereka. Dengan membawa pendayung sampan, pemuda itu berjalan menghampiri mereka berdua tergesa-gesa. Kulitnya agak gelap tanda gigih bekerja dalam terik mentari. Cukup ramah. Sambil tersenyum dia menegur dalam Bahasa Iban,

“Hai cikgu. Nama berita dek?”[2]

“Aok, manah”[3]. Serentak dijawab Zuhair dan Syaddad seolah menghafal rutin dialog perbualan ini. Itu lah perkataan Iban pertama yang dipelajari pada hari pertama di Sarawak. Apabila mengajar di Sarawak, seboleh-bolehnya guru menguasai dialek bahasa tempatan. Bukan sahaja berguna di dalam pengajaran dan pembelajaran, malah hubungan guru dengan masyarakat setempat akan lebih mesra.

“Mayuh bulih ikan?[4]”

Ternganga Zuhair cuba memahami pertanyaan tersebut. Zuhair memang agak lambat dalam kecenderungan bahasa jika dibandingkan dengan Syaddad. Syaddad walaupun tidak sepenuhnya mahir dalam Bahasa Iban, namun mampu untuk menangkap maksud pertanyaan lelaki Iban itu. Syaddad cuba memikirkan jawapan yang sesuai untuk menjawab soalan itu. Boleh sahaja dia menjawab dalam Bahasa Malaysia, namun sebolehnya dia ingin mencuba berdialog dalam bahasa tempatan walaupun dalam keadaan merangkak. Baginya jika masuk kandang kambing, perlu la mengembek.

“Nadai.. Baru nginti[5].”

Pemuda Iban itu seolah-olah ingin cepat ke sesuatu tempat. Melewati Zuhair dan Syaddad, lalu pemuda itu membuka ikatan tali perahu di tangga wharf . Zuhair dan Syaddad dengan pantas mengankat jorannya untuk memberi ruang kepada pemuda Iban itu mengemudikan perahu. Dari otot tangan dan otot abdominal pemuda itu dapat dilihat betapa gigihnya dia bekerja seharian mencari rezeki.

“Ka kini dek?[6]” Syaddad melontar persoalan sambil memeriksa umpan jorannya.

“Ka ngelayang ke seberai. Laban rumah aku ka seberai.[7]”


Syaddad hanya menganggukkan kepala dan terus melontar kembali jorannya ke tengah-tengah sungai. Zuhair pula menggaru kepala yang tidak gatal memikirkan maksud perbualan tadi. Dalam hatinya memuji kebolehan si Syaddad yang baru sebulan sudah boleh menggunakan bahasa tempatan walaupun kedengaran macam budak baru belajar bercakap.

“Apa yang kau cakap tadi? Aku tak faham hehe..”

“Sebenarnya ayat yang last tadi aku pun tak faham haha. Sebab tu aku angguk je.” Dengan selamba Syaddad berterus terang.

“Abis tadi kau bercakap macam kau faham.”

“Aku agak-agak je maksud dia. Tadi dia sebut seberai, tu maknanya mesti dia nak ke seberang. Rumah dia di seberang la kut.”


Mereka berpandangan dan tergelak. Dalam diri masing-masing timbul kesedaran untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Iban supaya lebih dekat lagi dengan masyarakat setempat. Mereka pecaya hubungan yang baik dengan masyarakat sangat membantu dalam pendidikan. Kerana tugas guru bukan hanya di sekolah, malah turut sebagai agen sosial mendidik masyarakat.

Zuhair dan Syaddad tidak menduga ditempatkan di Kapit untuk memulakan perkhidmatan mereka sebagai guru di SMK Sg Amang. Kapit juga la yang menemukan mereka sebagai sahabat baik. Zuhair merupakan guru Pendidikan Islam dan sudah berkahwin. Isteri Zuhair sedang menamatkan Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI) dan terpaksa berjauhan dengan suaminya buat sementara. Manakala Syaddad yang masih bujang ditugaskan untuk mengajar subjek Pengajian Am tingkatan 6 yang tidak langsung berkaitan dengan opsyennya sebagai guru matematik. Namun Syaddad bersyukur dan menganggap itu adalah cabarannya sebagai pendidik yang mesti berusaha untuk menjadi guru yang serba boleh.

Bahagian Kapit terletak di tengah-tengah Kepulauan Borneo bersempadan dengan Kalimantan (Indonesia) di sebelah selatan dan timur, satu-satunya bahagian di Sarawak yang tidak dapat dihubungi menggunakan jalan darat. Ianya merupakan pekan di hulu Sungai Rajang, sungai yang mencecah 551 kilometer panjang ini menjadikan Kapit sebagai satu bahagian yang unik dan sangat mencabar untuk didiami. Hampir seratus peratus bergantung kepada perhubungan air iaitu melalui Sungai Rejang. Bandar utama terdekat yang boleh dihubungi Kapit adalah Sibu melalui pengankutan bot ekpress sejauh 200 kilometer selama 3 hingga 4 jam. Boleh dikatakan sepertiga keluasan negeri Sarawak adalah terdiri daripada Bahagian Kapit.

Syaddad dan Zuhair bersyukur kerana ditempatkan di pekan Kapit yang mempunyai kemudahan paling asas. Lagi pun mengajar di sekolah menengah kebiasaannya terletak di bandar dan pekan yang menjadi kawasan tumpuan masyarakat. Lebih 80% daripada penduduk di Bahagian Kapit menetap di kawasan pedalaman dimana masyarakat Iban merupakan kumpulan etnik yang terbesar dengan peratusan penduduk melebihi separuh diikuti oleh kumpulan etnik kecil lain seperti Orang Ulu, Cina, Melayu dan Melanau. Maka tidak hairan anak didik mereka majoritinya adalah dari pedalaman dan menetap di asrama sekolah.

Disebabkan kemudahan jalan raya yang terhad di Kapit, kebanyakan masyarakat lebih selesa memiliki motosikal untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja. Begitu juga guru-guru muda di Kapit lebih selesa berulang alik dengan motosikal. Pergerakan masyarakat yang terhad hanya sekitar Kapit menyebabkan tidak banyak tempat yang boleh dituju menjadikan kapit seolah-olah seperti sebuah pulau. Kenderaan motor seperti kereta dan van diangkut dengan tokan besar dari Sibu ke Kapit yang memakan masa beberapa hari menyusuri Sungai Rejang. Kesannya kos hidup di Kapit agak tinggi kerana terpaksa menanggung kos pengankutan yang agak rumit.





[1] Al-Quran: Qaf:7-8

[2] “Hai cikgu. Apa khabar?”

[3] “Ya, Baik”.

[4] “Banyak ke dapat ikan?”

[5]“Tak ada. Baru memancing.”

[6] “Nak ke mana tu?”

[7] “Nak ke seberang. Rumah saya di seberang sana.”


...bersambung.. (minta shbt komen dan beri tunjuk ajar dlm penulisan esei saya)

Monday, November 7, 2011

Aidil Adha 2011 Kapit

Bismillah. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ini merupakan kali ke4 kawe meraikan Aidil Adha di bumi Kapit, Sarawak. Alhamdulillah masih diberi rezeki dan kelapangan untuk sama bertakbir meraikan hari mulia ini. Walaupun jauh dari keluarga, namun kemeriahannya juga terasa seperti di sisi keluarga.


Tidak dilupakan kawe mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha buat kedua ibu bapa kawe, buat guru-guru kawe, ustaz2 kawe, sedara-mara kawe, wores waroh kawe, rakan2 kawe, anak2 didik kawe serta seluruh muslimin dan muslimat. Mohon ampun jika ada salah silap. Salam Aidil Adha, Kullum Am Wa Antum Bi Khair..


Thursday, November 3, 2011

Apa kata Muallim mengenai ASST

OBismillah. Tepat jam 1150 tarikh Nov 3, 2011.. tamat juga kawe membaca ASST dengan kegigihan yang tak seberapa menjangkaui batasan tugas & tanggungjawab. Satu kepuasan tercapai bila mengkhatamkannya. Bukan hanya sekadar plot cerita, kawe percaya setiap bacaan ada ibrah tersendiri yang perlu kita cedok dan hayati serta tanam dalam kehidupan kita.
Terima kasih la buat penulis yang menukilkan karya ni yang sebenarnya kawe anggap bukan hanya sebuah karya, tetapi lebih luas peranannya dalam mendidik masyarakat, dalam memberi kefahaman kepada masyarakat yang membacanya dengan tidak putus2 dengan kasih sayang untuk diterjemahkan ke dalam kehidupan kita.

Kawe cukup yakin, pembaca akan turut mengembara ke dalam cerita ASST. Kawe juga yakin begitu banyak mis jelitawan yang mengimpikan kehadiran watak hilman ke dalam hidup mereka. Malah pasti ada yang terbawa ke dalam mimpi. Manakala pasti juga ramai plak mr jelitawan yang mengimpikan kehadiran watak intan ke dalam hidup mereka. Itu la lumrah kita sebagai manusia yang normal. Namun kawe cuba sedaya upaya untuk memberi sedikit ulasan/ komen/ keritikan/ dan seangkatannya dengan penuh adil, tidak bias dan tanpa dipengaruhi oleh perasaan dan mana-mana pihak. Kerana siapa la kita semua untuk sempurna? Siapalah kita untuk mendapat yang sempurna. Watak-watak yang wujud juga tidak sempurna. Ketidak sempurnaan watak rekaan ini lah yang hendak kita belajar, perlu kita cari ibrahnya tersendiri. Bukannya kita hanya hanyut dengan plot, dan mengharapkan apa yang kita harap.


Tidak dinafikan, plot cerita menarik. Penyampaian bersahaja dan tidak memberatkan minda kerana begitu santai. Gaya bahasa mudah difahami, sesuai untuk segala lapisan masyarakat. Kawe bukan la orang sastera yg layak untuk mengulas dari sudut sastera seperi metafora, unsur suspen, dsb.. cuma untuk ajak sahabat pembaca sekalian untuk berfikir sejenak.

Kawe terfikir2 kenapa watak kehidupan mewah melampau-lampau diketengahkan dalam ASST. Kadang2 kawe rasa tak logik. Kenapa ianya tidak dibuat dalam keadaan sederhana. Mesti ada logik tersendiri yang nak disampaikan penulis. Jika dalam situasi ekonomi yang sederhana pasti lebih menyentuh hati pembaca kerana lebih banyak yang matching dengan kehidupan mereka. Namun mungkin nak ditunjukkan bahawa Islam itu tidak menghalang umatnya untuk mengumpul harta. Dan ianya tidak salah malah ianya terpuji jika pemegang amanah harta adalah orang yang bertaqwa. Dimana harta2 yang melimpah ini dikembalikan kepada orang yang berhak melalui zakat.

Lagi terkejut bila mendapat maklumat apabila ramai sangat pembaca yang ingin menjadi model kepada watak Hilman dan Intan. Sehingga sanggup berselisih faham. Ini adalah satu perkara sia2 dan tiada langsung faedah kepada kita semua. Apahal kemaruk sgt nk jadi hilman atau pon nak jadi intan? Itu hanya watak bayangan dan rekaan semata2 dan kedua2 watak ni tidak la sempurna.. sepatutnya lebih baik kita bercita2 utk mencontohi sikap baik mereka seperti saling menjaga dalam perhubungan lelaki dan perempuan.. tak perlu la berebut nak jadi model hilman atau pun intan. Memadai la kita mencipta watak diri kita sendiri dengan akhlak2 terpuji sebagaimana akhlak yang dimiliki watak hilman dan intan. Yang buruk kita boleh ambil iktibar. Yg baik kita contohi.

Saya mengangap ianya adalah benda yg remeh utk difikirkan. Jika ada yg ingin menjadi hilman atau intan.. teruskan la menJADI.. tak perlu la nak kecoh bagitau satu dunia bahawa "saya la Intan, saya la Hilman". Dok diam2.. dan anda anggap la diri anda adalah Hilman atau Intan. Tak perlu kaitkan dengan mana2 pihak. Kan senang begitu.. ayyyaaa.. byk lagi masalah yang nak minta kita semua fikir. Seperti masalah sosial.. gejala pergaulan bebas, masalah ramai masyarakat yang tidak solat. Kdg2 kita terlalu membuang masa memikirkan benda remeh berbanding masalah yang lebih penting seperti masalah ummat..

Huhu saya sekadar berkongsi idea... Smua berhak utk tdk setuju dgn idea ni.. andaikan jika kita semua berfikir "macammana kita nak tanam sikap saling menjaga hubungan lelaki dan perempuan seperti hilman & intan" dlm msykt kita.. jika diperhatikan dalam cerita, mereka cukup terpelihara. walaupun berdua-duan dalam kereta, di tepi pantai dan di dalam bilik mahupun di kandang kuda, mereka cukup menjaga. Persoalannya adakah remaja diluar yang bercouple mamppu melakukan seperti Hilman dan Intan? Bagi saya tidak mustahil.. namunn mulut kata boleh buat.. tetapi orang yang ketiga iaitu syaitan tidak berdiam diri.

Saya tidak pasti (dlm cerita ASST) jika Hilman dan Intan yang selalu keluar berdua-duan itu berteman denga mahram atau tidak. Jika tidak, ini sedikit memberi contoh yang tidak baik kepada pembaca. Walaupon dalam cerita ini mereka saling mnjaga, tetapi ianya tetap menimbulkan fitnah kerana berdua-duan. Dan pasti segelintir pembaca yang tidak sedar dan terpengaruh dengan watak ini akan terdorong meniru aksi sebegini dengan alasan mereka saling menjaga. Ditambah pulak dengan keutuhan janji manis oleh pasangan lelaki dan wanita bahawa ingin menjaga adab batasan pergaulan. Namun kita lupa, mulut memang mudah berkata2.. namun bila sudah berdua-duan, susah untuk diduga. Paling tidak tetap menimblkan fitnah dan tidak manis dipandang. Biarlah keikhlasan kita disertai dengan tindakan "mengelak".. itu lebih baik.

Selain itu saya juga tertarik dengan sifat "cemburu" dalam ASST. Ketahuilah cemburu ini sangat penting untuk menjaga perhubungan. Suami mencemburui isteri adalah penting. Begitu juga isteri mencemburui suami. Perasaan ini la mendorong kedua2 mereka untuk saling menjaga. Saling berhati-hati. Sekali gus dapat menjaga perhubungan mereka. Kerana sifat cemburu ini suami terdorong untuk memerhati tindakan isterinya.. jika sudah melampaui batas, maka teguran dibuat. begitu juga isteri.

Saya sebenarnya tidak lah pandai untuk membuat refleksi mengenai ASST. Minta maaf kepada pihak berkenaan hehe. Namun sebenarnya ASST mampu membentuk jiwa pembaca terhadap dunia kasih sayang. Kasih sayang kepadaNya menyebabkan kita mendapat kasih sayang lain di dunia.. Jangan sesekali kita melebihkan kasih sayang kita kepada yang lain selain kepadaNya. Akhir kata secara jujur saya ucapkan tahniah kepada penulis kerana telah membuatkan saya terharu dengan watak Hilan dan Intan. Telah membantu saya muhasabah diri mengenai hidup. Teringat kawe akan nasihat daripada Ust Pahrol dalam blog Genta Rasa, kita perlu faham bahawa hidup ini ada peraturannya. Salah satu peraturannya ialah apa yang kita hendak tidak semuanya akan dapat dicapai. Inilah ‘rules of life” –sunahtullah. Siapa yang tidak mahu menerima hakikat ini … maka tidak layaklah dia hidup. Misalnya, kalau kita main bola, kena gunakan kaki. Tidak boleh gunakan tangan. Siapa yang hendak gunakan tangan juga, maka dia tidak layak bermain bola.

Wallahu 'Alam

Sunday, October 30, 2011

Jangan Menderhaka


Bismillah. "Di zaman Nabi pun, sudah ada orang yang derhaka kepada ibunya. Barangkali, ini untuk dijadikan contoh dan sempadan. Bagaimanapun ibu bapa dulu-dulu cukup pentingkan akhlak anak-anak. Ibu bapa sekarang, umumnya cuma tahu mengikut asas. Kalau kerajaan suruh belajar, belajar. Kalau kerajaan suruh tinggikan tahap akademik, masing-masing berusaha meninggikan pencapaian akademik. Perkara asuhan ahlak hampir tidak dipedulikan lagi oleh kebanyakan orang. Hasil acuan yang kita gunakan 20 tahun lalu; inilah pula yang melahirkan generasi yang datang 2o tahun kemudian. Antara dosa paling berat kesan pengabaian pendidikan akhlak ini ialah kelahiran generasi yang tidak hormat atau lebih tepat, derhaka kepada ibu bapa. Ini menjadi bebann kepada kerajaannya, negerinya, kampungnya, masyarakat dan keluarga." (TGNA)

Tuesday, October 25, 2011

ASST Ke Kapit


Bismillah. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Akhirnya Novel "Awak Suka Saya Tak" (ASST) sampai juga ke kapit. Apabila disirat kembali perjalanan ASST yang begitu jauh, dari Kota Bharu ke Kapit bukanlah satu perjalanan yang mudah. Dari Kota Bharu ianya akan sampai di Kuala Lumpur. Seterusnya ASST akan menaiki kapal terbang ke Sibu. Di Sibu ASST akan di hantar ke Wharf Sibu bagi meneruskan perjalanan ke Kapit menaiki Bot Ekpress.


Perjalanan ASST menaiki bot ekpress ni biasanya mengambil masa 3-4 jam bergantung pada cuaca dan keadaan air Sungai Rejang iaitu sungai yang terpanjang di Malaysia. Menaiki ekpress tidak la seteruk menaiki perahu panjang (long boat) kerana ianya cukup selesa seperti naik feri ke pulau-pulau peranginan.


Setelah melalui perjalanan yang panjang terkurung di dalam bot ekpress, maka tiba lah ASST ke Kapit. Maka ASST akan segera diserahkan kepada Pos Malaysia Kapit. DI sini la Kawe akan ke Pejabat Pos Kapit untuk menuntut kiriman ini dari Kak Melur Jelita.


Apabila membuka ASST terkejut kawe bila melihat coretan daripada Penulis novel ini siap dengan tanda tangan lagi. sangat terharu kerana penulis sendiri yang tanda tangan dan memberi satu nasihat yang bermakna, "Dengan Kasih Sayang Allah, Tiada Yang Mustahil.." Terima kaih banyak-banyak atas usaha semua pihak yang menjayakan penghantaran ASST ke kapit.


Seterusnya adalah komitmen kawe sendiri untuk menghabiskannya. Almaklumlah, bukan ASST sahaja yang perlu dibaca. Sebagai guru Pengajian Am tingkatan 6, kawe juga memerlukan pembacaan yang lain sebagai persiapan mengajar anak2. Maka ASST buat masa ni hanya mampu dibaca sedikit demi sedikit sebelum tidur sahaja. InsyaAllah AST akan dikhatamkan semasa transit panjang di airport semasa balik bercuti panjang ke kelantan. Atau pun akan dikhatamkan sambil "riding" dengan kawasaki z1000.

Wednesday, October 19, 2011

kejohanan Futsal "Set Kito" Kapit 2011



Bismillah. Assalamualaikum dan salam seahtera. Buat sahabat kawe di Kapit. Sekadar mencatatkan memori dalam blog ni. Terima kasih atas dedikasi sahabat2 sekalian yang sama menjayakan Kejohanan Futsal "Set Kito". Kawe cukup terharu atas aktiviti kita sebegini sedikit sebanyak mengubat rindu dan menceriakan kita semua. Sedia maklum kita semua ada yang berkhidmad di Kapit dengan tepaksa meninggalkan keluarga. Malah ada yang terpaksa berjauhan dengan anak isteri serta keluarga.


Terima kasih tak terhingga buat sahabat yang sentiasa bersama susah-senang kita di Kapit. Bak kata orang cubik paha kanan, paha kiri turut terasa. Semangat kita yang "tidok Pecoh" menyebabkan kita tetap teguh berjuang di Kapit sebagaimana sehingga hari ini. Ada yang berterusan gembira, ada yang diberi nikmat ujian. Semua ni mengajar kita erti pendidik. Terima kaih banyak2. Kawe yakin 14 nov 2011 ni kita semua akan digemparkan dengan berita di kalangan kita yang akan diluluskan perpindahan ke Semenanjung. Bagi yang berjaya, tahniah atas perjuangan kita semua. Bagi yang terus berkhidmad di Kapit, terukan berjuang. La Tahzan, innallaha ma 'ana.


Kawe minta maaf atas segala salah silap kawe selama di Kapit. Kawe bukan apa, cuma seorang hamba Allah yg menumpang belajar dari sahabat sekalian. terima kasih atas ilmu kehidupan yang diberi. Terima kasih atas kasih sayang serta semangat ukhwah yang diberi. Ini la kenangan terindah di Kapit.. wslm

Sunday, October 16, 2011

Pemimpin Berjiwa Rakyat

Bismillah. Inilah Sultan Kelantan, Sultan negeri jajahan Kelantan. Sultan ambo. Tak tau nk cerita byk.. gambar2 ni cukup membuat kita sebagai rakyat terharu.. ALLAHU AKBAR









Saturday, October 15, 2011

Wanita Sejahtera Di bawah Naungan Syariah

Bismillah. Pandangan negatif terhadap Islam telah sekian lama menular dalam masyarakat, kesan daripada interpretasi yang melencong mengenai hukum dan keadilan Islam terhadap wanita.

Setiap ruang berkaitan wanita sering diserang dan dilihat serba-serbi tidak kena oleh masyarakat bukan Islam hatta segelintir umat Islam sendiri.

Pakaian wanita yang menutup aurat dan batasan tertentu terhadap pergerakan mereka di luar rumah dilihat sebagai mengongkong dan menyekat kebebasan wanita Islam.

Isu poligami dan hak perceraian yang diberikan kepada lelaki Islam memberi tanggapan bahawa wanita Islam ini ditindas dan perlukan pembelaan. Seterusnya, mahkamah syariah dianggap bersifat tidak ’gender sensitive’ terhadap wanita disebabkan kes-kes perceraian di mahkamah yang kelihatan tidak memihak kepada wanita.

Ini hanyalah segelintir isu yang dikongsikan. Banyak lagi hal kecil dan besar berkaitan wanita dalam Islam dijadikan isu dan sensasi sehingga ramai sekali yang menyangka wanita yang mengamalkan Islam adalah golongan yang ditindas, dianiaya dan dinafikan haknya.

Sesungguhnya salah faham terhadap ajaran Islam dan syariah ini perlu diperbetulkan dari semasa ke semasa. Amat rugi apabila salah faham ini menutupi keindahan sebenar Islam dan betapa sejahteranya wanita di bawah naugan syariah.

Kita akur, usaha-usaha menangani masalah persepsi yang silap mengenai Islam telah dilaksanakan oleh ramai pihak. Namun begitu ia masih belum mencukupi sehingga berupaya mengubah pandangan salah tersebut.

Mesej Islam sebagai pembawa rahmat kepada keseluruhan alam mesti disampaikan dengan jelas kepada setiap ahli masyarakat. Banyak fakta dalam al-Quran, as-sunnah atau sejarah Islam itu sendiri telah membuktikan bahawa wanita Islam sentiasa dilindungi kehormatan dan maruahnya serta tidak dianiaya atau dipandang hina oleh mana-mana anggota masyarakat apabila Islam diambil secara syumul.

Syariat Islam yang dilaksanakan sepenuhnya dapat memastikan keselamatan dan kesejahteraan setiap ahli masyarakat.
Sekarang kawe sedang menungu kehadiran novel "Awak Suka Saya Tak" yang ditulis oleh Melur Jelita. Di sini banyak ibrah kita bleh pelajari melalui kisah hidup sebenar berkenaan wanita dan secara amnya utk kita yang cintakan kasih sayang.. itu lah kasih sayang sebanar.

(Dipetik & diubahsuai daripada Malaysia Harmoni)

Monday, October 10, 2011

AWAK SUKA SAYA TAK?

Bismillah. Assalamualaikum dan salam sejahtera. AWAK SUKA SAYA TAK? errmmm rupanya sebuah novel hehe. Kawe pun tak sangka begitu menarik tajuk novel ni. Membuatkan kawe sangat teruja untuk membacanya walaupun sampai sekarang masih menunggu penghantaran novel ni yang dibeli melalui pos. Almaklumlah kawe jauh di pedalaman Sarawak, agak berbaloi membayar kos pos untuk novel ini berbanding jika nak habiskan kos tiket bot, teksi dan hotel ke Sibu semata-mata untuk mendapatkan novel ini. Itu pun jika ada di Sibu..

Terima kasih buat kakakku, Noor Ra yang memperkenalkan kawe denga novel ni. Seterusnya berusaha untuk menjayakan pembelian novel ni. Sinopsis cerita nya juga menarik yang kawe baca dari blog penulisnya iaitu MelurJelita. Bagi sahabat yang ingin mencari bahan bacaan yang mampu mendidik kekuatan jiwa kita, ingin menghayati konsep sebenar kasih sayang, sila la dapatan novel ini.

Sunday, September 11, 2011

Tattoo; Keunikan Masyarakat Iban

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ini kawe berkesempatan untuk berkenalan dengan seorang yang istimewa di Kapit iaitu saudara Robert Mayau yang merupakan pemilik Borneo Native and Western Tattoo Studio. Perkenalan kawe secara tidak sengaja di Pasar Teresang Kapit pada pagi tadi membawa kami ke studio beliau untuk ditemu ramah dengan lebih lanjut.
Apabila ditanya mengenai seni tattoo, beliau menyatakan ramai masyarakat memandang serong kepada orang yang membuat tattoo di badan mereka. Malah pernah tiba suatu ketika masyarakat Iban mula melupakan pembuatan tatto di badan mereka kerana menganggap ianya tidak lagi sesuai diamalkan dalam masyarakat moden sekarang. Sehinggakan pembuatan tatto kini kembali mendapat tempat dalam masyarakat Iban sedelah berlakunya modenisasi dalam seni pembuatan tattoo. Kini corak tattoo tradisional Iban telah dimodenkan dan dikomersilkan menjadikan hasil lukisannya jauh lebih cantik dan kemas.

Robert yang selalu menghadiri konvension tattoo sedunia kini merupakan pelukis tattoo fofesional. Hasil seninya mendapat pengiktirafan bukan sahaja di dalam negeri malah di seluruh dunia. Pelanggan yang selalu mendapatkan perkhidmatan beliau terdiri daripada masyarakat Iban, Cina dan juga pelancong dari luar negara. Mereka sanggup datang ke Kapit semata-mata untuk mendapatkan perkhidmatan dari Robert. Kawe pon tak sangka rupanya pembuat tattoo terkenal adalah dari Kapit, Sarawak. Di dalam masyarakat Iban, pembuatan tattoo mempunyai lambang tertentu yang menjadi kemegahan dan identiti masyarakat mereka.

Apabila ditanya bagaimana mula menceburkan diri dalam bidang ini, Robert menceritakan ianya bermula semasa di sekolah menenagah apabila cikgu sering memujinya dalam setiap kerja seni yang dihasilkan di sekolah. Kemudia bakat semulajadi ini diteruskan dengan melukis tattoo secara suka-suka. Akhirnya ianya menjadi sebagai pekerjaan sepenuh masa. Bagi peminat tattoo ianya adalah seni.

Apabila melukis tattoo, soal keselamatan dan kebersihan amat dititiberatkan oleh Robert. Setiap alatan mesti la bersih dan dalam "strill" supaya bersih dari kuman dan bakteria. Ini penting untuk mengelakkan pelanggang mendapat risiko jangkitan HIV dan Hepatatis. Robert juga membuat mesin tattoo sendiri yang bertemakan bunga terung. Mesin tattoo buatan Robert mendapat tempat malah terjual ke seluruh dunia dengan harga sekitar RM800 seunit.

Di antara corak yang selalu menjadi pilihan pelanggan ialah corak bunga terung seperti di atas. Ia merupakan corak tradisional Iban yang dilukis di bahu. Selain corak tradisional, Robert juga melukis corak "western" seiring denggan perkembangan zaman yang menjadi permintaan pelbagai lapisan masyarakat.


Walaubagaimanapun, masyarakat Islam adalah diharamkan untuk membuat tattoo pada badan. Penulisan artikel ini adalah sekadar untuk kawe bertukar-tukar pengalaman kawe mengenali budaya masyarakat Iban di Kapit yang sangat terkenal dengan budaya tradisi. Kawe begitu bangga diberi peluang untuk melihat sendiri budaya unit ini.. Semoga pembaca mendapat manfaat dari perkongsian pengalaman kawe..

Market Teresang Kapit; Exotik dan Unik

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hujung minggu ni kawe menghabiskan masa merakam gambar di Pasar Teresang, Kapit yang merupakan pusat ekonomi masyarakat di sini. Terdapat pelbagai barangan dijual di sini. Diantaranya ialah buah isau. Ianya mirip buah mata kucing.
Ini pula dinamakan buah dabai yang hanya terdapat di Sarawak. Buah dabai ini berbuah mengikut musim. Biasanya diantara Disember hingga Febuari. Rasanya lemak-lemak dan sedap dimakan bersama nasi. Dikatakan buah dabai yang terbaik adalah dari Kapit. Di sibu buah dabai boleh mencecah sehingga RM4o/kg. Dalam musim dabai banyak berbuah harganya dijual dalam lingkungan RM3-5/kg.
Jika di Kelantan tersohor denga "jeruk mamang", tetapi di Kapit terdapat satu sayur yang cukup istimewa iaitu Kasam Enzabi. Renee Anak Sakuat, 25, ketika di temui di Pasar Teresang, Kapit memberitahu kasam enzabi yang menjadi sumber pendapatannya kini merupakan antara hidangan yang paling digemari oleh masyarakat Iban. Oleh sebab itu maka tidak hairanlah jika dia dapat menjual sehingga dua tong besar kasam enzabi setiap kali berniaga di pasar tersebut.

“Saya hasilkan sendiri kasam enzabi ini. Ia diperbuat daripada sejenis tumbuhan yang dinamakan enzabi dan hanya boleh ditemui di Kapit. Enzabi tersebut akan dijeruk bersama air beras dan garam selama beberapa hari.

“Selepas ianya lembut, barulah kasam enzabi ini boleh dihidangkan. Ada yang suka makan begitu sahaja dan ada juga suka kasam enzabi yang ditumis bersama cili dan ikan bilis.

“Rasanya memang enak dan kini bukan sahaja masyarakat Iban yang menyukainya malah masyarakat Melayu yang tinggal di sini juga semakin menerimanya,” ujarnya yang menjual kasam enzabi tersebut dengan harga RM2 semangkuk. Tambahnya, kasam enzabi itu boleh tahan sehingga beberapa bulan asalkan ianya ditutup rapat dan tidak dibiarkan kering.
Ini pula adalah kayu hujan panas dan span mandi tradisional iban.. Kayu hujan panas ini dibakar sedikit demi sedikit dan akan mengeluarkan asap yang wangi. Asap ini digunakan untuk menghalau nyamuk. Manakala span ini berasal daripada buah petola yang dikeringkan. Jalinan urat buah petola ini mengeras dan menjadi span untuk mencuci badan semasa mandi.
“Bagi mereka yang tahan pedas pula, cuba makan cili gerunung yang hanya boleh ditemui di sini. Oleh kerana rasanya yang terlalu pedas, ada juga masyarakat tempatan yang memanggilnya cili hantu,”.
“Begitu juga dengan buah ridan kampung. Rupanya memang mirip seperti buah salak atau buah kelubi di semenanjung. Tetapi ianya berbeza. Seperti buah kencala, ridan kampung ini juga selalu menjadi bahan utama untuk membuat sambal.
Ini pula dinamakan buah purul yang enak dibuat sayur juga merupakan antara sayur-sayuran unik yang terdapat di sini. Rupa bentuknya persis buah nangka tetapi saiznya lebih kecil dan bentuknya agak bulat jika dibandingkan dengan buah nangka yang biasa ditemui di semenanjung. “Jangan salah sangka. Ini bukan buah nangka tetapi buah purul yang hanya boleh ditemui di sini. Buah ini sedap kalau di masak lemak atau di buat sup. Sebelum di masak, buah ini perlu di kupas terlebih dahulu. “Seperti nangka, buah purul juga mempunyai getah tetapi tidak sekuat getah nangka. Untuk membuang getahnya, buah ini elok dikupas di bawah air paip supaya getahnya mengalir bersama air,” jelas Chabi Anak Bana, 47, yang telah beberapa tahun berniaga di pasar tersebut.
Selain buah purul, dia juga turut menjual buah terung Iban, kenchala, sabung dan ridan kampung atau lebih dikenali sebagai asam bukit oleh masyarakat tempatan. Katanya buah kenchala, sabung dan ridan kampung sedap dibuat sambal dan dijadikan menu pembuka selera seperti sambal belacan yang sinonim dengan masyarakat Melayu di semenanjung. “Buah kenchala di peroleh daripada pokok kenchala. Kalau di semenanjung orang panggil pokok bunga kantan. Saya dapat tahu, orang di semenanjung hanya menggunakan bunganya sahaja untuk dibuat laksa.

Ini la dia saudara Amran merupakan anak jati negeri Kelantan sudah beberapa tahun berniaga ayam segar di Pasar Tresang Kapit. Katanya selain dapat melihat pelbagai jenis sayur-sayuran yang unik dan sukar ditemui di tempat lain, Market Teresang juga menjanjikan pengalaman baru buat mereka yang baru menetap di Kapit. Saudara Amran berkahwin dengan gadis Iban dan sekarang menetap di Kapit dan mepunyai 4 orang cahaya mata.

Thursday, August 25, 2011

Salam Aidil Fitri dari Kapit

Bismillah. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Buat Ibu bapa kami, guru2 kami, ustaz2 kami, jurulatih dan pengajar kami, saudara mara kami, sahabat2, anak didik kami dan semua Muslimin Muslimat, ucapan Selamat Hari raya fitrah kami ucapkan. Semoga pakaian baru yang disarung seindah pakaian taqwa yang diusahakan sepanjang ramadhan ini. Ampun dan maaf dipohon dari kami semua andai ada salah silap dilakukan. ALLAHU AKBAR.

Wednesday, August 24, 2011

Akad Nikah, Adab di Dalam Masjid

Gambar hiasan: Majlis akad shbt kawe di rumah pengantin

Bismillah. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Menjelang cuti persekolahan akan datang pasti ramai kenalan kita terlibat dengan upacara pernikahan. Dan masyarakat sedia maklum dalam mencari keberkatan pernikahan, ramai bakal pengantin mencadangkan agar majlis akad diadakan di masjid sebelum meneruskan aktiviti kenduri di rumah pengantin. Dan memang nampak cantik sekali cadangan itu untuk mendapatkan berkat dalam sebuah masjid memandangkan masjid merupakan pusat segala aktiviti umat Islam.

Namun kadang-kadang kita letih melihat telatah masyarakat yang turut sama dalam majlis akad nikah di masjid yang boleh dikatakan agak biadab mengenai adab. Tidak dinafikan niat untuk akad nikah di masjid sangat bagus, tetapi lagi sedih apabila adab di dalam masjid tidak dijaga. Apabila ditimbang-timbang... rasanya lebih elok majlis akad buat di rumah pengantin sahaja dari melanggar batas adab masjid.

Sebagai contoh senario perlanggaran adab yang belaku apabila akad nikah di masjid:
  1. Tidak menjaga aurat. Tetamu wanita tidak menutup aurat dengan sempurna. Yang wanita nampak rambut dengan hanya menyangkt selendang, bertudung tetapi pakaian ketat dsb..
  2. Memasuki masjid tanpa solat sunat tahiyatul masjid (menghormati masjid).
  3. Jika akada dilakukan selepas isya, ada yang lebih rela lepak di tangga masjid daripada sama-sama berjemaah. (tapi jika bermusafir tidak mengapa la kerana kita anggap sudah di himpunkan).
  4. Wanita yang di dalam haid turut sama duduk di dalam masjid.
  5. Berbuat bising dalam masjid. Dan banyak lagi contoh yang tidak baik.

Masih kawe teringat di dalam khutbah minggu ke tiga Ramadhan lepas di Masjid Pondok Sungai Durian yang di sampaikan oleh Ust Ddr Abdul Basit. Menurut beliau, mungkin ini la sebabnya kerana kita terima agama ini hanya sebagai warisan, bukannya sebagai agama yang kita anuti. Kerana mereka ingin mengambil berkat di dalam masjid, tetapi adab tidak dijaga.


Dari sudut lain, kebaikan itu pasti bertukar sebaliknya jika dicemari dengan tindak-tanduk kurang sopan mereka yang hadir seperti memakai pakaian tidak menutup aurat, berbual hal keduniaan, mengumpat dan membuat bising sehingga mengganggu orang lain melakukan ibadah.


Jika berlaku perkara sedemikian, maka berlaku ketidakseimbangan pada majlis berkenaan. Perkara terbaik adalah memastikan kita mematuhi serta menghormati institusi masjid sebagai tempat ibadah.


Antara adab-adab di masjid:

MEMASUKI MASJID:

1. Membuka kasut dan masuk dengan mendahulukan kaki kanan. Ketika masuk masjid, Rasululah mengajar kita membaca doa " Ya Allah, bukakanlah untukku pintu RahmatMu"
2. Memberi salam kepada sesiapa yang berada didalam masjid, sekira tiada oarang dalam masjid tersebut maka ucapkanlah: " Selamat keatas kami dan atas hamba Allah yang solih"
3. Mengerjakan solat sunnah Tahiyatul Masjid ( Menghormati Masjid ).


Di DALAM MASJID:

1. Duduk menghadap Qiblat.
2. Memohon doa supaya Allah membuka pintu rahmatNya.
3. Sentiasa menyebut nama Allah.
4. Menghadirkan Ahhala dalam hati.
5. Menghentikan percakapan tentang hal-hal dunia.
6. Jauhi dari menghina Islam.
7. Bezikir dengan suara perlahan.


HENDAK KELUAR MASJID:

1. Mohon ampun dan bimbingan Allah agar selamat selama di luar.
2. Berniat untuk datang kembali.
3. Mendahulukan kaki kiri sambil berdoa: "Aku berlindung dengan nama Allah Yang Maha Agung dengan Zat Yang Maha Mulia dan kekuasaanNya yang qadim dari syaitan yang terkutuk".
4. Memberi salam kepada orang yang masih tinggal di masjid.


Namun ini adalah sebahagian adab yang perlu dijaga. Namun tidak la semua adab tersebut jika dilanggar boleh membawa kepada dosa.

Popular Posts

Bismillah

Salam sayang dari kejauhan buat isteriku yang sentiasa menghitung hari untuk bertemu suaminya.

Jentera Z1000

Jentera Z1000
Satu kepuasan

Renungan